Sabah aktif JPBD susulan amaran tsunami

Sabah aktif JPBD susulan amaran tsunami

HAJIJI NOOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengambil langkah segera dengan mengaktifkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) di kawasan terlibat susulan amaran tsunami dikeluarkan selepas gempa bumi kuat melanda Mindanao, Selatan Filipina pagi ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, tindakan itu dilakukan bagi memantau dan mengurus sebarang kemungkinan yang boleh berlaku selain memastikan keselamatan penduduk sentiasa berada pada tahap terbaik.

Menurut beliau, kerajaan negeri menerusi Pusat Kawalan Operasi Bencana Negeri kini memantau perkembangan semasa secara rapi dan bekerjasama dengan semua agensi berkaitan bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

“Penduduk di kawasan Pantai Timur Sabah khususnya di Tawau, Kunak, Semporna dan Lahad Datu diminta bertenang serta mematuhi segala arahan yang dikeluarkan pihak berkuasa susulan amaran tsunami berkenaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Berdasarkan maklumat yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), ombak tsunami setinggi 0.4 meter dijangka melanda beberapa kawasan di Pantai Timur Sabah antara pukul 10.30 pagi hingga 12 tengah hari.

Terdahulu, gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter dilaporkan berlaku di Mindanao, Selatan Filipina sehingga mencetuskan amaran tsunami yang turut melibatkan beberapa kawasan di negeri ini.

Hajiji turut menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat terkini hanya melalui saluran rasmi pihak berkuasa dan tidak mempercayai atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat.

“Semua agensi berkaitan kini berada dalam keadaan siap siaga dan akan terus memantau situasi semasa bagi memastikan sebarang tindakan dapat dilaksanakan dengan pantas sekiranya diperlukan,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN