Kerajaan pertimbang geran hidupkan semula 10 Memorial Negarawan

Kerajaan pertimbang geran hidupkan semula 10 Memorial Negarawan

ANWAR Ibrahim ketika melancarkan gimik pelancaran Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 bertempat di Perkarangan Kompleks Sukan Likas, Sabah, semalam.- JABATAN PENERANGAN SABAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kerajaan Persekutan akan mempertimbangkan peruntukan geran padanan bernilai RM5 juta menerusi Belanjawan 2027 bagi menghidupkan semula 10 Memorial Negarawan di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tokoh penting negara seperti Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Allahyarham Tun Mustapha Harun dan Allahyarham Tun Fuad Stephens yang mewakili latar belakang etnik berbeza mempunyai persamaan dalam usaha memastikan kejayaan dan kemajuan negara.

Katanya, para pengasas negara mempunyai wawasan yang jelas tentang pembinaan negara bangsa meskipun ia tidak dizahirkan melalui bahasa yang kompleks atau teori yang rumit.

“Apabila saya meneliti latar belakang mereka, mereka bukanlah cendekiawan atau intelektual seperti yang kita fahami pada hari ini, sebaliknya merupakan pemimpin yang mempunyai kecintaan mendalam terhadap negara.

“Mereka mewakili kelompok etnik dan komuniti yang kecil, namun memiliki pandangan yang luas mengenai bagaimana semangat kebersamaan, perpaduan dan rasa memiliki dalam kalangan rakyat dapat dipelihara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Perasmian Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan Tahun 2026 bertempat di Perkarangan Kompleks Sukan Likas, di sini semalam.

Dalam pada itu, Anwar turut berkata rakyat Malaysia yang menginginkan negara terus aman dan makmur memahami nilai, nikmat serta manfaat perpaduan dalam kehidupan bermasyarakat.

“Perpaduan membawa kestabilan dan menjadi asas kukuh kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Namun, kerana kita sudah terlalu biasa hidup dalam suasana aman dan harmoni, kadangkala kita terlupa bahawa terdapat pengaruh tertentu yang boleh menghakis semangat tersebut dan menyemarakkan sentimen yang bertentangan dengan perpaduan.

“Kita tidak boleh leka atau menganggap perpaduan akan terus kekal tanpa usaha berterusan untuk memupuknya serta mengekang kemunculan pihak yang boleh memecahbelahkan masyarakat,” katanya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan kepada Kementerian Perpaduan Negara atas usaha berterusan memperkukuh dan mempromosikan agenda perpaduan sejak beberapa tahun lalu.

Dalam perkembangan sama, Anwar turut mengumumkan pemberian geran aktiviti sebanyak RM10,000 kepada 189 Sekretariat Rukun Negara di institusi pengajian tinggi seluruh negara bagi melaksanakan program pembinaan negara bangsa, patriotisme dan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.

Selain itu, kerajaan turut menyediakan geran RM5,000 kepada 6,849 Kelab Rukun Negara di sekolah seluruh negara bagi menggalakkan penghayatan dan amalan prinsip Rukun Negara sejak di peringkat pendidikan awal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN