KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan memberi jaminan penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) pertama kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kekal mengikut jadual asal pada penghujung tahun ini walaupun berdepan beberapa kekangan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, perkembangan konflik geopolitik di Asia Barat tidak menjejaskan sasaran jadual dan penyerahan kapal berkenaan seperti yang ditetapkan oleh kerajaan.
Menurut beliau, pihaknya sentiasa memantau kemajuan projek LCS bagi memastikan ia berjalan mengikut perancangan serta memenuhi keperluan operasi TLDM.
“Kita kekal dengan jadual asal. Walaupun terdapat beberapa kekangan dari segi persenjataan, persenjataan sedia ada juga mempunyai keupayaan untuk membolehkan LCS diserahkan mengikut jadual asal iaitu pada penghujung tahun ini,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta penjelasan sama ada konflik di Iran menjejaskan jadual penyerahan LCS serta perolehan radar baharu negara.
Mengulas cadangan menggubal pelan induk kemandirian industri pertahanan negara, Adly berkata, kerajaan sememangnya sedang melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara yang memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.
Menurutnya, ketika ini industri pertahanan negara banyak tertumpu kepada aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), namun kerajaan mahu memperluaskan pembangunan kepada sektor berteknologi tinggi termasuk satelit, dron dan sistem pertahanan lain.
“Kita tahu negara mempunyai keupayaan itu. Namun pada masa sama, kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) juga penting bagi membolehkan pemindahan teknologi dan pengetahuan yang dapat mempercepat pembangunan industri pertahanan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh keupayaan sistem radar negara menerusi perolehan baharu bagi memastikan pemantauan di Laut Sulu, Laut China Selatan dan Selat Melaka terus dipertingkat.
“Sistem radar merupakan antara aset strategik yang penting bagi memastikan pengawasan sempadan, keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik. – UTUSAN










