Bayaran projek LCS berdasarkan nilai kerja fizikal

Bayaran projek LCS berdasarkan nilai kerja fizikal

MAS ERMIEYATI SAMSUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan kini melaksanakan pembayaran projek Kapal Tempur Pesisir (LCS) berdasarkan nilai kerja fizikal yang telah disahkan bagi memastikan setiap bayaran dibuat mengikut kemajuan sebenar projek selain mengelakkan risiko terlebih bayar.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, kos keseluruhan kontrak LCS kekal pada harga tetap iaitu RM11.22 bilion.

Katanya, sebarang kos tambahan yang timbul akibat kerja semula ditanggung sepenuhnya oleh Lumut Naval Shipyard (Lunas) tanpa melibatkan sebarang tambahan peruntukan daripada kerajaan.

“Sebanyak 170 sistem utama LCS perlu diuji termasuk ujian penembakan meriam dan pensijilan kalis kejutan.

“Isu keusangan peralatan sedang ditangani melalui pembaikan semula oleh pengeluar peralatan asal (OEM) di bawah tanggungan kontraktor sepenuhnya,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.

Mas Ermieyati berkata, dana projek dipantau secara mingguan dan diasingkan sepenuhnya daripada aktiviti perniagaan yang lain, sejak ia diambil alih oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

“Ia memaksa kontraktor mencari vendor alternatif dan melakukan pensijilan semula yang memakan masa.

“Tempoh latihan intensif ditetapkan selama 12 bulan bagi memastikan kru Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) mahir mengendalikan teknologi kompleks kapal ini termasuk sistem peperangan antikapal selam dan ciri halimunan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, PAC turut memaklumkan tindakan menarik balik dan membatalkan lesen eksport senjata berkenaan bagi projek LCS memberi kesan besar sekiranya kapal diserahkan kepada TLDM tanpa sistem persenjataan utama yang lengkap.

Katanya, kerajaan Malaysia telah melunaskan 95 peratus daripada dana awam bagi keseluruhan nilai kontrak perolehan NSM sebagai peluru berpandu permukaan ke permukaan (surface to surface missile) untuk projek berkenaan.

“Kerajaan perlu memastikan langkah mitigasi dan diplomasi diperkukuhkan bagi mendapatkan penyelesaian yang adil serta menjaga kepentingan fiskal negara,” katanya.

“Sehubungan itu, PAC mengesyorkan enam perkara untuk dilaksanakan oleh kerajaan, di mana TLDM diwajibkan mengemukakan laporan kemajuan bertulis setiap tiga bulan bermula pada Mei 2026 tanpa gagal.

“Kedua, Kementerian Pertahanan (Mindef) dan MOF hendaklah mengekalkan disiplin kewangan yang ketat bagi memastikan kos keseluruhan projek kekal di bawah RM11.22 bilion.

“Ketiga, Mindef hendaklah memastikan projek direalisasikan hingga lima kapal dapat diserahkan kepada TLDM mengikut garis masa dan kos ditetapkan,” katanya.

Tambahnya, kontraktor LUNAS perlu memastikan stok waranti bagi peralatan kritikal sentiasa mencukupi.

“Kelima, kerajaan hendaklah memperkukuhkan segala langkah mitigasi dan diplomasi bagi menjamin penyelesaian adil dan kedaulatan fiskal negara terus terpelihara.

“Terakhir, kerajaan hendaklah memanfaatkan prosiding perundangan bagi menuntut ganti rugi yang setimpal,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN