KUALA LUMPUR: Perolehan sistem peluru berpandu anti kapal baharu bagi Kapal Tempur Pesisir (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dijangka mengambil masa antara dua hingga tiga tahun kerana proses perolehan perlu dimulakan semula.
Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman berkata, proses itu melibatkan penilaian semula pelbagai aspek termasuk keperluan operasi serta peruntukan kewangan sebelum tender dibuka.
Katanya, empat negara dikenal pasti berpotensi membekalkan sistem baharu bagi menggantikan NSM selepas Kerajaan Norway membatalkan lesen eksport sistem persenjataan berkenaan.
“Antara negara disenarai pendek ialah Perancis, Itali, Turkiye dan Korea Selatan berdasarkan penilaian teknikal operasi oleh TLDM bersama Kementerian Pertahanan.
“Bagaimanapun, keputusan muktamad belum dibuat kerana proses tender masih belum dibuka dan negara-negara itu hanya calon yang berpotensi,” katanya selepas Majlis Pelancaran Rasmi Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2027 (LIMA’27) di sini, hari ini.
Terdahulu, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, penilaian teknikal peringkat Kementerian Pertahanan dan TLDM bagi memilih pengganti sistem NSM akan diselesaikan akhir bulan ini.
Beliau berkata, tawaran serta cadangan daripada syarikat-syarikat akan dinilai secara komprehensif berdasarkan keperluan operasi TLDM.
Malek Razak berkata, pemilihan sistem baharu itu penting bagi memastikan kesiapsiagaan TLDM, walaupun pembatalan perjanjian NSM memberi kesan kepada perancangan sedia ada.
“Kita tidak mahu tahap kesiapsiagaan terjejas. Kapal sudah siap, ditauliahkan dan boleh beroperasi tetapi tidak mempunyai sistem persenjataan atau peluru berpandu yang diperlukan.
“Walaupun akan ada kelewatan yang memberi kesan kepada tempoh kesiapsiagaan, kita perlu melaksanakan pelan tindakan yang dirancang,” katanya.
Ketika ditanya sama ada LCS boleh beroperasi tanpa NSM, beliau berkata, kapal itu mempunyai pelbagai fungsi dan tugas sebelum sistem baharu dipasang.
“Tiada masalah, LCS tetap akan boleh beroperasi walaupun sistem persenjataan NSM belum siap sepenuhnya sebab kapal ini mempunyai pelbagai fungsi serta tugas-tugas lain.
“Lagipun dia ada senjata lain yang boleh digunakan. Jadi dia tetap boleh buat rondaan, cuma kapal itu akan beroperasi bukan dalam fungsi penuh,” katanya. – UTUSAN









