Penyalahgunaan dadah sintetik perlu menjadi fokus negara - Utusan Malaysia

Penyalahgunaan dadah sintetik perlu menjadi fokus negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kuala Lumpur: Ketagihan dadah sintetik yang mempunyai kesan lebih kuat dan mudah untuk diproses perlu dijadikan agenda utama masyarakat bagi menyelesaikan kemelut itu.

Pengerusi Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC) Pahang, Daniel Khoo berkata, ini kerana perkara tersebut menimbulkan kegusaran awam apabila kes kerap dilaporkan berhubung individu di bawah pengaruh dadah sintetik.

Menurutnya, pihak berwajib perlu melipat gandakan usaha dalam mencegah kemasukan dan penjualan bahan terlarang berkenaan yang kini dijual dalam pelbagai bentuk termasuk rokok elektronik malah ia mudah diperoleh.

“Dalam isu ini saya percaya kita perlu bergerak bersama dan berganding bahu bermula daripada pendidikan awal dari rumah, sekolah sehingga kepada penguatkuasaan dan pemulihan.

“Kerajaan perlu menjadikan usaha memerangi dadah secara total sebagai antara agenda utama negara bermula daripada pembekal sehinggalah pengedar kecil-kecilan dan penagih dadah itu sendiri,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi Perikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lim Lam Thye mendesak kerajaan supaya menjadikan isu dadah sintetik sebagai agenda utama negara yang memerlukan tindakan lebih drastik.

Mengulas lanjut, Daniel berkata, penyalahgunaan dadah hanya  merugikan diri sendiri malah dikhuatiri ‘’menjatuhkan’ negara dari pelbagai sudut.

“Ramai penagih khususnya dadah sintetik mengalami kerosakan kepada fungsi otak dan akhirnya mengalami masalah mental. Perkara ini turut memberi kesan negatif kepada emosi ahli keluarga penagih itu sendiri lebih-lebih lagi jika sudah berumah tangga.

“Hal ini menjurus kepada keruntuhan institusi kekeluargaan, menjadi pemangkin masalah keganasan rumah tangga, pengabaian anak dan perceraian.

“Dari sudut ekonomi pula kita kehilangan sejumlah besar tenaga buruh yang sepatutnya menyumbang kepada ekonomi sebaliknya menagih dadah. Peruntukan untuk institusi mental dan penjara juga banyak dihabiskan ke atas golongan ini,” katanya.

Justeru katanya, tanggungjawab memerangi dadah memerlukan kerjasama padu daripada semua pihak termasuk pihak berkuasa, kementerian, badan bukan kerajaan (NGO), dan masyarakat.

Katanya, pencegahan dadah perlu dilakukan secara holistik bermula daripada peringkat tertinggi sehingga ke lorong-lorong di kawasan perumahan anda sendiri.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN