KUALA LUMPUR: Malaysia kekal berpendirian tegas terhadap Low Taek Jho atau Jho Low sekalipun Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump memberikan pengampunan terhadap ahli perniagaan dalam buruan itu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sebarang ketetapan atau keputusan pengampunan di AS adalah urusan negara itu dan kerajaan sentiasa berpaksikan kepada jalur undang-undang.
“Pendirian Malaysia jelas, kita mengikut jalur hukum. Itu sebuah urusan negara (pengampunan), Amerika syarikat itu urusan mereka.
“Pendirian kita tidak terpengaruh atau terganggu mahupun tergugat oleh Amerika Syarikat,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid As-Sodiqin di Taman Kobena, Cheras, di sini hari ini.
Sebelum ini, media antarabangsa melaporkan Jho Low ialah antara kira-kira 250 individu yang mungkin dipertimbangkan untuk menerima pengampunan Trump sempena sambutan ulang tahun ke-250 Hari Kemerdekaan negara itu, esok. – UTUSAN










