Pemandu lori maut tersepit kemalangan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat

Pemandu lori maut tersepit kemalangan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat

ANGGOTA bomba cuba mengeluarkan pemandu lori berusia 40-an yang tersepit di tempat duduk dalam kemalangan yang berlaku berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat arah utara hari ini. - FOTO IHSAN JBPM MELAKA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang pemandu lori maut selepas tersepit dalam kemalangan melibatkan sebuah lori tiga tan berhampiran Plaza Tol Simpang Ampat arah utara di sini, petang ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 4 petang itu, mangsa, seorang lelaki berusia 40 tahun, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas berjaya dikeluarkan oleh anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Gajah dan Ayer Keroh.

Komander Operasi, PBK I Hanizah Jaafar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 4.04 petang sebelum sepasukan anggota BBP Alor Gajah dan dibantu BBP Ayer Keroh digerakkan ke lokasi.

“Setibanya pasukan di lokasi pada pukul 4.28 petang, didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah lori jenis Isuzu tiga tan.

“Pemeriksaan mendapati seorang lelaki berusia 40 tahun tersepit di bahagian tempat duduk pemandu. Mangsa berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan khas menyelamat sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, operasi membabitkan tujuh anggota bomba dengan bantuan beberapa jentera dari BBP Alor Gajah dan BBP Ayer Keroh serta turut mendapat kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan KKM.

Katanya, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada pukul 5.55 petang. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN