SHAH ALAM: Orang ramai yang merancang menunaikan ibadah umrah dinasihatkan supaya tidak mudah terpikat dengan tawaran harga terlalu murah apabila Karnival Pelancongan Islam PAPUH – Muslim Travel Fair 2026 tampil menawarkan pakej yang lebih telus, realistik dan diyakini selamat.
Timbalan Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Dr. Fathir Alhadad Badri berkata, karnival itu mengetengahkan konsep berbeza berbanding pameran pelancongan lain kerana setiap agensi yang mengambil bahagian perlu mematuhi syarat ditetapkan persatuan bagi menjamin keyakinan bakal jemaah.
Beliau berkata, sehingga kini sebanyak 56 syarikat sudah mengesahkan penyertaan dengan 52 daripadanya menawarkan pakej umrah, manakala selebihnya membabitkan institusi kewangan, syarikat penerbangan dan penyedia perkhidmatan berkaitan industri pelancongan.
Menurutnya, sambutan diterima amat menggalakkan apabila 76 daripada 100 gerai yang disediakan telah ditempah, malah pihak penganjur bersedia menambah kapasiti kepada 120 gerai sekiranya permintaan terus meningkat.
“Kita tidak menjanjikan potongan harga sehingga 90 peratus seperti yang sering dipromosikan di tempat lain. Sebaliknya, kita menawarkan pakej yang realistik, telus dan boleh dilaksanakan oleh agensi berlesen,” katanya pada sidang media sempena Karnival Pelancongan Islam PAPUH – Muslim Travel Fair 2026, di sini.
Turut hadir Presiden PAPUH, Datuk Seri Razali Mohd. Sham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penganjur, Muhammad Mursyid Abu Hassan, Ketua Pembangunan Perniagaan Islam dan Perniagaan Syariah Kumpulan RHB, Ishak Othman serta Pengurus Bank Rakyat Cawangan Shah Alam, Huzaimi Ali.
Muslim Travel Fair 2026 dijadual berlangsung selama tiga hari bermula 31 Julai hingga 2 Ogos di Kompleks PKNS Shah Alam dengan menghimpunkan pelbagai tawaran pakej umrah, sesi konsultasi, program ilmu serta cabutan bertuah kepada pengunjung.
Dr. Fathir berkata, PAPUH mahu memastikan setiap promosi yang ditawarkan sepanjang karnival itu tidak mengelirukan pengguna atau menjanjikan sesuatu yang mustahil untuk ditunaikan.
Beliau berkata, orang ramai perlu lebih berhati-hati sekiranya ditawarkan pakej umrah pada harga terlalu rendah kerana kos sebenar perjalanan, khususnya ketika musim puncak, tidak memungkinkan tawaran sedemikian.
“Hari ini harga tiket penerbangan sahaja sudah berada sekitar RM3,600 hingga RM4,000. Jadi kalau ada yang menawarkan pakej umrah lengkap pada harga RM3,000 atau RM4,000, pengguna perlu bertanya bagaimana ia boleh dilaksanakan kerana ia tidak logik,” katanya.
Menurut beliau, kebanyakan kes jemaah terkandas yang pernah berlaku sebelum ini berpunca daripada tawaran pakej yang terlalu murah sehingga syarikat gagal menyediakan tiket penerbangan serta kemudahan lain seperti dijanjikan.
“Saya tidak mengatakan semua pakej murah itu salah, tetapi jika harganya terlalu rendah sehingga tidak masuk akal, itu adalah petanda bahaya. Orang ramai perlu membuat semakan terlebih dahulu sebelum membuat bayaran,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Mursyid berkata, pengguna perlu mengutamakan faktor keselamatan dan kredibiliti sesebuah agensi berbanding hanya mengejar tawaran harga murah.
“Jangan cari yang terlalu murah kerana apabila harga tidak masuk akal ditawarkan, ia boleh membawa kepada masalah besar. Kita mahu masyarakat membuat pilihan yang bijak dan selamat,” katanya.
Karnival itu dijadual dirasmikan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pada 31 Julai ini. – UTUSAN










