PUTRAJAYA: Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) menjangkakan kos haji untuk jemaah skim muassasah meningkat pada musim depan.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, pihak Lembaga Tabung Haji (TH) tidak mempunyai pilihan dalam mengekalkan kos sedia ada pada musim lalu.
“Papuh memang ada dengar desas-desus kenaikan kos itu namun terpulang kepada TH sendiri bagi memuktamadkan perkara berkenaan,” katanya ketika diminta mengulas hantaran menerusi aplikasi sembang WhatsApp dan laman sosial Facebook yang melaporkan isu tersebut.
Awal tahun ini, TH mengumumkan kenaikan kos haji bagi kumpulan B40 yang kali pertama menunaikan ibadah itu dan memilih muassasah ditetapkan kepada RM12,356.
Bagi jemaah kelompok M40 ialah RM19,152 ekoran kos haji pada musim 1445 Hijri meningkat kepada RM33,300 berbanding RM30,850 pada tahun sebelumnya.
Mengulas lanjut, Razali ketika dihubungi berkata, secara realistiknya kos haji musim depan diunjur boleh mencecah minimum RM35,000 setiap seorang jemaah susulan pelbagai faktor luaran.
“Bayaran dikenakan untuk jemaah B40 itu sebenarnya cuma sesuai untuk ibadah umrah jenis standard selama 15 hari 13 malam tetapi tidak berbaloi bagi tujuan haji,” jelasnya.
Beliau merujuk kos cukup tinggi ditanggung pihak TH ketika jemaah berada di Masyair meliputi Arafah, Muzdalifah dan Mina bagi urusan wukuf, bermabit dan melontar jamrah.
Justeru, beliau tidak terkejut apabila TH perlu mengambil sedikit masa bagi menilai kos musim depan sebelum dimuktamadkan menerusi pengumuman rasmi.
Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar memberitahu, penetapan sama ada kos bagi mengerjakan haji meningkat atau kekal akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Kita masih dalam peringkat akhir perbincangan dan apabila sudah dimuktamadkan, perkara itu akan dibawa kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Biasiswa Al-Falah Madani, di Kuala Lumpur semalam. – UTUSAN










