PETALING JAYA: Kira-kira 300,000 rakyat Malaysia tidak dibenarkan memasuki ke kawasan Arafah, Mekah dan Madinah bagi melaksanakan ibadah umrah atau haji menggunakan visa umrah atau visa pelancong.
Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd. Sham berkata, sekatan itu berdasarkan pengumuman dikeluarkan kerajaan Arab Saudi mengenakan larangan visa sementara terhadap 14 negara menjelang musim haji dan penutupan sementara itu akan dibuka semula pada 14 Zulhijjah 1446M bersamaan 10 Jun depan.
“Biasanya, kerajaan Arab Saudi akan menggantung sementara visa umrah pada Zulkaedah bertujuan membantu mengawal perjalanan semasa musim haji dan memastikan keselamatan terkawal.
“Bagaimanapun, bagi penggunaan visa pelancong, hanya dua negara Islam dibenarkan masuk ke Arab Saudi membabitkan Malaysia dan Brunei, namun tidak dibenarkan memasuki kawasan Arafah, Mekah dan Madinah,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Pada 7 April lalu, media antarabangsa melaporkan Kerajaan Arab Saudi mengenakan larangan visa sementara terhadap 14 negara menjelang musim haji dan pemegang visa umrah hanya boleh memasuki negara itu sehingga 13 April lalu.
Antara negara terlibat Pakistan, India, Bangladesh, Mesir, Indonesia, Iraq, Nigeria, Jordan, Algeria, Sudan, Ethiopia, Tunisia dan Yaman.
Larangan terbabit dikenakan terhadap visa umrah, perniagaan dan visa keluarga dengan sekatan dijangka berakhir pada pertengahan Jun.
Antara sebab utama sekatan sementara, termasuk kebimbangan terhadap cubaan menunaikan haji tanpa kebenaran dengan mengambil contoh kejadian pada musim haji lalu apabila ada individu yang masuk menggunakan visa pelbagai, namun tinggal secara haram hingga musim haji untuk menunaikan ibadah itu. – UTUSAN