PETALING JAYA: Tekanan ekonomi dan persaingan kerjaya menyebabkan ramai individu lebih fokus kepada pencapaian diri dan survival ekonomi berbanding pembentukan keluarga pada usia muda.
Dekan Kuliyyah Kaunseling, Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (Unishams), Prof. Datin Dr. Sapora Sipon berkata, faktor itu juga berpunca akibat harga rumah yang mahal, kos pendidikan dan penjagaan anak meningkat, ekonomi gig dan pekerjaan berstatus kontrak.
Katanya, ramai orang muda memberi keutamaan kepada pendidikan tinggi, pembangunan kerjaya dan kestabilan hidup sebelum berkahwin sekali gus menyebabkan purata umur perkahwinan meningkat dan tempoh reproduktif menjadi lebih pendek.
“Mereka tekankan kebebasan individu berbanding tanggungjawab kolektif, menyebabkan keputusan berkahwin dan mempunyai anak bergantung pada kesediaan emosi dan kewangan individu.
“Ramai pasangan melihat membesarkan anak sebagai tekanan kewangan dan emosi apatah lagi dengan kos hidup bandar yang tinggi, ruang rumah kecil dan beban kerja berat.
“Pertembungan tuntutan kerja dan tanggungjawab keluarga menyebabkan tekanan psikologi, terutama bila sokongan seperti cuti bersalin dan penjagaan anak terhad,” katanya kepada Utusan Malaysia mengulas mengenai pertumbuhan penduduk yang merosot pada kadar 0.5% dengan kelahiran hidup menurun sebanyak 3.1 % berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
DOSM merekodkan penduduk umur muda iaitu 14 tahun dan ke bawah, berlaku penurunan daripada 21.8 % kepada 21.6 %, sementara komposisi penduduk tua berusia 65 tahun dan ke atas, meningkat daripada 7.9 % kepada 8.0 %.
Sapora berkata, peningkatan pendidikan dan penglibatan wanita dalam kerjaya profesional, turut menyumbang kepada perubahan demografi hingga menyebabkan penurunan kadar kelahiran.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Noble Malaysia, Dr. Robiah K. Hamzah berkata, wujud fenomena dalam kalangan wanita muda hingga membentuk ‘sindrom tidak mahu berkahwin’ kerana melihat perkahwinan sebagai komitmen besar dan mencabar.
Generasi muda juga lebih cenderung mengutamakan kestabilan diri terlebih dahulu berbanding membina keluarga.
“Golongan muda melihat kos kehidupan semakin tinggi termasuk kos perkahwinan, rawatan hospital, penjagaan anak dan risiko perceraian. Pada mereka, lebih baik hidup sendiri tanpa komitmen besar,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Robiah yang juga penceramah motivasi terkenal berkata, sikap tersebut mula terbentuk sejak di institusi pengajian tinggi apabila sebahagian pelajar terlalu fokus terhadap pengajian dan kerjaya sehingga tidak lagi memberi perhatian kepada soal membina hubungan atau keluarga selepas tamat pengajian.
Katanya, ramai wanita kini memiliki kerjaya stabil, rumah dan kenderaan sendiri selain menikmati kebebasan mengurus kehidupan tanpa perlu bergantung kepada pasangan.
“Mereka boleh bekerja hingga lewat malam, bebas bercuti dan mengurus kehidupan sendiri. Akhirnya, soal perkahwinan menjadi perkara kedua.
“Di tempat kerja, ramai pekerja yang komited dan cemerlang terdiri daripada golongan wanita bujang. Ada majikan melihat pekerja wanita yang belum berkahwin lebih mudah memberi fokus kepada kerjaya sehingga mereka mudah dinaikkan pangkat sebagai ketua jabatan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, terdapat juga wanita yang memilih untuk tidak berkahwin kerana mahu memberi tumpuan untuk menjaga ibu bapa, terutama jika menjadi anak perempuan tunggal dalam keluarga.
Beliau berkata, situasi itu jika berterusan boleh memberi kesan besar terhadap struktur demografi negara termasuk kekurangan generasi pelapis dan penurunan jumlah penduduk pada masa depan. – UTUSAN










