ARAU: Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah, Perlis berada pada landasan kukuh ke arah pembangunan lebih pesat dan tersusun.
Titah baginda, namun demikian, setiap perancangan dan perbelanjaan hendaklah dilaksanakan dengan penuh amanah, berhemah dan bertanggungjawab serta memberi manfaat jelas dan nyata kepada rakyat.
Baginda tidak mahu melihat perancangan yang baik hanya kekal atas kertas tanpa pelaksanaan berkesan.
“Setiap projek dirancang hendaklah dilaksanakan dengan cekap, dipantau dengan rapi dan disiapkan dalam tempoh munasabah supaya manfaat dapat dinikmati tanpa kelewatan. Namun, dalam kita melangkah ke hadapan, dunia kini juga berdepan ketidaktentuan yang semakin mencabar, termasuk tekanan ekonomi global dan perubahan geopolitik.
“Perkembangan itu memberi kesan kepada kenaikan harga barangan, kos perkhidmatan dan tekanan terhadap kos sara hidup rakyat. Beta amat memberi perhatian terhadap situasi ini dan berharap semua pihakmemainkan peranan secara proaktif dalam memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara,” titah Tuanku Syed Sirajuddin pada Ulang Tahun Keputeraan baginda Ke-83 di Istana Arau, di sini semalam.
Baginda bertitah, mereka yang diberi amanah dalam kepimpinan negeri termasuk wakil rakyat perlu memikul tanggungjawab menentukan hala tuju dan masa depan negeri ini dengan setiap keputusan yang dibuat berlandaskan kepentingan rakyat dan tidak dipengaruhi oleh kepentingan sempit atau jangka pendek.
“Beta harap setiap ruang dimanfaatkan untuk membincangkan perkara membina dan menjana idea baharu yang membawa perubahan bermakna.
“Kerjasama dan iltizam tinggi diperlukan bagi memastikan perancangan dilaksanakan dengan berkesan,” titah baginda.
Baginda turut menyeru agar perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat di Perlis terus diperkukuh.
“Perlis terdiri daripada kalangan masyarakat berbilang kaum yang hidup dalam suasana aman dan harmoni. Kepelbagaian ini merupakan kekuatan yang perlu dipelihara dan diperkukuh.
“Dalam keadaan dunia semakin mencabar, kekuatan sebenar kita terletak pada kesatuan saling menghormati dan keupayaan bergerak sebagai masyarakat bersatu padu. Keharmonian ini bukan sesuatu yang datang sendiri, tetapi dipupuk dan dipelihara oleh semua pihak,” titah baginda. – UTUSAN










