Lambat dalam pembelajaran cabar Aisyah jadi pereka fesyen

Lambat dalam pembelajaran cabar Aisyah jadi pereka fesyen

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Dalam dunia fesyen yang sentiasa bergerak pantas dengan trend baharu setiap masa, masih terdapat pereka muda yang memilih untuk bergerak perlahan namun penuh makna.

Seorang pereka fesyen muda, Siti Aisyah Mazlan berkata, setiap pakaian yang dihasilkan bukan hanya busana untuk dipakai sebaliknya ruang emosi yang cuba diterjemahkannya.

Dia mengakui dirinya bukan pelajar yang cemerlang malah menganggap dirinya sebagai ‘slow learner’ berikutan lebih mudah memahami sesuatu secara visual dan praktikal berbanding membaca serta menghafal.

Namun di sebalik kelemahan itu, seni menjadi satu-satunya ruang yang membuatkan dirinya benar-benar hidup dan yakin terhadap kebolehan sendiri.

“Lebih berminat untuk menjadi seorang doktor namun ibu saya lihat saya lebih cenderung kepada sesuatu yang kreatif malah minat terhadap bidang seni juga telah dipupuk sejak kecil lagi.

“Ayah saya juga turut memainkan peranan penting kerana sering membawa saya melakukan aktiviti seni dan kraf tangan seperti membuat batik, tembikar serta pelbagai aktiviti lain pada waktu lapang,” katanya yang juga merupakan graduan lulusan Sarjana Muda Seni dari University Of South Wales, United Kingdom.

Aisyah menyifatkan kedua-dua ibu bapanya memainkan peranan besar dalam membentuk dirinya hari ini terutama dalam memberi ruang untuk dia mengenali potensi sebenar.

Ujarnya, dia mula menunjukkan kecenderungan terhadap bidang seni apabila memperoleh keputusan cemerlang dalam subjek tersebut semasa peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Itulah yang menjadi titik permulaan yang membawa dirinya untuk mendalami dunia fesyen secara lebih mendalam.

Emosi Jadi Bahasa Dalam Setiap Rekaan

Bagi Aisyah, fesyen bukan sekadar pakaian cantik atau trend semata-mata tetapi medium untuk menyampaikan rasa dan emosi seseorang oleh itu, setiap rekaan di bawah jenamanya dihasilkan berdasarkan emosi yang sedang dilaluinya pada waktu tersebut.

“Semua rekaan saya datang daripada emosi, kalau saya sedih, marah atau gembira, pelbagai idea akan keluar dalam bentuk warna, potongan dan silhouette baju,” katanya.

Walaupun trend fesyen sentiasa berubah, dia memilih untuk tidak terlalu mengikut arus sebaliknya lebih selesa menghasilkan karya berdasarkan identiti sendiri.

Berani Membina Nama Dengan Identiti Sendiri

Dalam pada itu, Aisyah mengakui dia kini menguruskan hampir keseluruhan jenamanya sendiri termasuk melukis rekaan, memilih fabrik, membuat sampel sehingga menghasilkan kandungan di media sosial.

Katanya, proses tersebut sangat memenatkan namun memberi kepuasan kerana setiap perkara yang dihasilkan benar-benar datang daripada dirinya sendiri.

Malah, Aisyah juga sangat menitikberatkan aspek eksklusiviti apabila setiap koleksi dihasilkan dalam kuantiti terhad supaya pelanggan lebih menghargai setiap helaian pakaian yang dibeli.

Disebabkan itu juga, proses kawalan kualiti dilakukan secara sangat teliti sehingga mengambil masa berhari-hari sebelum satu koleksi dihantar kepada pelanggan.

Namun sebagai pereka muda, Aisyah tidak dapat lari daripada cabaran terutama apabila ada pihak yang meniru rekaannya dan menggunakan gambar produknya untuk menjual versi tiruan.

Walaupun kecewa, dia memilih untuk tidak terlalu memikirkan perkara tersebut kerana percaya setiap rezeki sudah ditentukan.

Dalam masa sama, Aisyah juga percaya media sosial memainkan peranan besar dalam memperkenalkan jenamanya kepada lebih ramai orang terutama generasi muda.

Tidak Berhenti Walaupun Pernah Gagal

Menurutnya, ramai yang mempunyai impian besar namun tidak berani memulakan langkah pertama kerana terlalu memikirkan risiko.

“Kalau takut untuk mula, kita tidak akan tahu sejauh mana kita boleh pergi jadi ambil sahaja peluang dan terus melangkah ke hadapan,” ujarnya yang pernah mengalami kerugian ketika tahun pertama perniagaannya namun dia menjadikan pengalaman tersebut sebagai proses pembelajaran buat dirinya.

Bagi Aisyah, wanita yang memakai rekaannya bukan sekadar mahu kelihatan cantik tetapi mahu merasa lebih yakin terhadap diri sendiri.

Disebabkan itu, setiap potongan dan siluet dihasilkan dengan teliti supaya mampu membuatkan wanita kelihatan lebih elegan, tinggi dan yakin apabila mengenakannya.

Dia juga berharap lebih ramai anak muda berani mencuba bidang kreatif tanpa terlalu takut kepada kegagalan atau pandangan orang lain.

Emosi Sebagai Seni

Kini, jenama yang dibinanya semakin berkembang dan mendapat tempat dalam kalangan wanita muda yang mencari rekaan eksklusif serta mempunyai nilai emosi tersendiri.

Namun di sebalik segala pencapaian itu, Aisyah tetap melihat dirinya sebagai seorang wanita biasa yang masih sedang belajar dan berkembang sedikit demi sedikit.

Apa yang membezakan dirinya hanyalah keberanian untuk menjadikan emosi sebagai kekuatan dan menerjemahkan rasa tersebut menjadi karya yang boleh dipakai oleh orang lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN