Cikgu Pa terus tabur bakti selepas bersara

Cikgu Pa terus tabur bakti selepas bersara

MUSTAFFA Ibrahim atau lebih dikenali sebagai Cikgu Pa menunjukkan gambar dan piala diraih sepanjang bergelar pendidik dan selepas bersara di rumahnya di Taman Ira, Kangar, Perlis semalam. – UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Walaupun sudah lama bersara sebagai pendidik, seorang bekas guru tetap aktif mencurahkan ilmu dan semangat kepada pelajar menerusi ceramah motivasi di sekolah seluruh negeri ini.

Mustaffa Ibrahim, 74, atau lebih dikenali sebagai Cikgu Pa, terbabit dalam program Titian Kasih anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) sejak lebih sedekad lalu.

Katanya, program tersebut menggunakan pendekatan berbeza dengan menggabungkan elemen sukan dan kehidupan bagi meningkatkan motivasi pelajar.

“Melalui program ini saya akan ke sekolah-sekolah mengikut kawasan Parlimen ditetapkan bagi memberikan ceramah motivasi buat pelajar. Pelaksanaannya tidak sekadar tertumpu kepada pelajar cemerlang akademik semata-mata, sebaliknya memberi fokus kepada pembinaan keyakinan diri, disiplin serta kekuatan mental,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kediamannya di Taman Ira, di sini, semalam. Program itu mendapat kerjasama Jabatan Pendidikan negeri.

Minat bapa kepada empat anak ini dalam mendidik anak bangsa tidak pernah bertepi malah bidang pendidikan dan sukan sudah sebati dengan dirinya sejak mula bergelar guru di Putra English School, di sini, bermula pada tahun 1973.

Beliau pernah menjadi jurulatih di beberapa sekolah seperti Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Hassan, SMK Batu 16, SMK Tengku Suleiman, Sekolah Menengah Sains Pokok Sena serta Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra.

Penerima Anugerah Guru Cemerlang Excellence of Physical Education pada 1992 di bawah Persatuan Pendidikan Jasmani Malaysia ini juga pernah menjawat jawatan Pengarah Majlis Sukan Negeri (MSN) Perlis bermula dari 2004 hingga 2010 dan mencatatkan pelbagai kejayaan cemerlang dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) serta beberapa kejohanan lain.

Mustaffa berkata, selain negeri ini beliau turut menjelajah ke seluruh sekolah lain termasuk di Melaka dan Sabah, menyampaikan ceramah motivasi buat pelajar menerusi program Titian Kasih tersebut.

“Saya menjunjung kasih kepada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang mengiktiraf saya untuk program Titian Kasih,” katanya.

Kecemerlangan, melayakkan­nya merangkul pelbagai anugerah termasuk Ahli Mahkota Perlis (AMP), Pingat Mahkota Perlis (PMP) dan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Mustafa berkata, guru kini berdepan cabaran besar apabila usaha membina sahsiah pelajar di sekolah kadang kala terganggu akibat tekanan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, Falsafah Pendidikan Negara sebenarnya sudah lengkap dalam melahirkan insan seimbang, namun pelaksanaannya ada kala tersasar sehingga memberi tekanan kepada warga pendidik.

“Ibu bapa juga perlu memahami sekolah bukan sekadar tempat mengejar keputusan akademik, sebaliknya institusi penting untuk membentuk peribadi dan masa depan anak-anak.

“Berikan guru ruang dan kepercayaan untuk mendidik pelajar dengan lebih sempurna.

“Tidak guna dapat 10A jika akhirnya mereka sendiri tidak tahu hala tuju hidup selepas tamat belajar,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN