Harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800

Harga lantai pakej umrah ekonomi bermula RM7,800

UMAT Islam di negara ini yang ingin menunaikan ibadah umrah dengan kos paling rendah perlu bersedia membayar sekurang-kurangnya RM7,800 bagi setiap orang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Umat Islam di negara ini yang ingin menunaikan ibadah umrah dengan kos paling rendah perlu bersedia membayar sekurang-kurangnya RM7,800 bagi setiap orang.

Ia susulan keputusan yang dicapai dalam satu perjumpaan bersama ahli Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (Papuh) diadakan di ibu negara semalam yang mencapai kata sepakat meletakkan harga lantai tersebut bagi pakej ekonomi.

“Sementara bagi bakal jemaah umrah yang ingin memilih pakej premium atau turut disebut sebagai VIP, harga lantainya ditetapkan bermula daripada serendah RM14,000,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Pada ketika ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) yang mengawal selia urusan agensi ibadah umrah tempatan menetapkan kos paling minimum ialah RM6,000 untuk pakej bajet dengan tempoh kelaziman berada di Mekah dan Madinah hanya selama 12 hari 10 malam berkuat kuasa sejak 17 Oktober 2021.

Kali terakhir harga pakej minimum itu ditetapkan Motac ialah pada 2017 lalu iaitu RM4,900 bagi mengelakkan berlaku kes penipuan oleh agensi tidak bertanggungjawab.

Mengulas lebih lanjut, Razali berharap agar bakal jemaah dapat memahami situasi yang berlaku sekarang mengakibatkan berlaku kenaikan drastik harga.

“Pihak Papuh turut menyarankan supaya bakal pelanggan lebih berhati-hati dalam memilih pakej umrah jika harga ditawarkan tidak munasabah untuk mengelak penipuan,” katanya.

Beliau dipercayai merujuk kepada pelbagai laporan media sebelum ini mengenai ramai jemaah terkandas di lapangan terbang akibat terpedaya pakej dengan harga terlalu murah.

Mesyuarat yang melibatkan lebih 400 ahli Papuh bagi membincangkan isu kos di tanah suci turut bersepakat mengenai kenaikan harga tiket penerbangan dan hotel penginapan di Mekah dan Madinah yang melonjak sejak akhir tahun lepas lagi antaranya disebabkan disebabkan permintaan tinggi pasca pandemik Covid-19.

Sebelum pintu sempadan negara ditutup Mac 2020 lalu, hampir 300,000 warga Malaysia mengerjakan umrah setiap tahun iaitu bilangan jemaah warga asing kelapan paling tinggi.

Isu kos pakej ibadah itu turut disentuh oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar ketika berada di Arab Saudi awal bulan lepas, malah membangkitkan perkara tersebut semasa bertemu sendiri Menteri Haji dan Umrah Arab Saudi, Dr. Tawfiq Fawzan Al-Rabiah sewaktu sela satu persidangan di Jeddah.

Walau bagaimanapun, pemimpin negara berkenaan mengakui isu berkenaan adalah di luar kawalan kerajaan Arab Saudi dan turut melibatkan sama jemaah umrah seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya