PADANG BESAR: Seorang anak dari Felda Lubuk Sireh di sini, memohon kepada mana-mana pihak untuk membantu membawa pulang ibunya, Halimah Ismail, 64, yang diserang strok ketika berada di Madinah, Arab Saudi, pada 5 Februari lepas.
Siti Nur Ain Abd Sanief, 31, berkata, ibunya pada mulanya dimasukkan ke Hospital Al Salam, Madinah, selepas mengalami masalah kesihatan serius semasa dalam perjalanan mengerjakan umrah.
Katanya, pemeriksaan ketika itu mendapati ibunya dijangkiti beberapa virus termasuk influenza, Covid-19 dan rhinovirus, malah keadaannya juga semakin lemah serta terpaksa ditidurkan.
“Selepas emak sedar, dia tidak boleh bergerak langsung kecuali kepala. Doktor kemudian menjalankan imbasan dan mengesahkan emak mengalami strok,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Titi Tinggi, di sini semalam.
Siti Nur Ain berkata, ibunya kemudian terpaksa dipindahkan ke Hospital King Fahad, Madinah dan sehingga kini masih menerima rawatan rapi.
Katanya, leher ibu juga terpaksa ditebuk bagi memudahkan pernafasan selepas sedar daripada koma.
“Ahli keluarga kami kini sedang berusaha membawa pulang ibu ke tanah air dengan bantuan kedutaan Malaysia di Jeddah.
“Kos bagi membawa pulang ibu menggunakan ambulans udara sekitar RM200,000 dan anggaran kos perubatan masih belum diketahui buat masa ini,” katanya.
Katanya, mereka sekeluarga berharap agar mana-mana pihak dapat membantu bagi membawa pulang Halimah.
“Saya harap ada pihak dapat membantu membawa pulang ibu kami yang berada di Madinah memandangkan pelbagai usaha telah dilakukan sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










