PETALING JAYA: Umat Islam negara ini disaran menangguhkan sementara perancangan menunaikan ibadah umrah atau haji sekiranya konflik di Asia Barat berpotensi menjejaskan keselamatan perjalanan ke tanah suci.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Dr. Mohd. Sukki Othman berkata, syariat Islam menetapkan bahawa kewajipan menunaikan ibadah umrah atau haji berkait rapat dengan kemampuan seseorang termasuk dari sudut keselamatan perjalanan.
Katanya, keadaan itu juga selaras dengan prinsip Islam yang mengutamakan keselamatan dan mengelakkan kemudaratan dalam setiap tindakan termasuk perjalanan menunaikan ibadah.
“Para ulama fiqh menjelaskan bahawa antara syarat penting bagi kewajipan menunaikan haji ialah wujudnya keamanan dalam perjalanan atau disebut sebagai amn al-tariq.
“Jika perjalanan menuju ke Tanah Suci berhadapan dengan ancaman yang nyata seperti peperangan, kekacauan politik atau bahaya yang boleh mengancam nyawa, maka kewajipan tersebut boleh ditangguhkan sehingga keadaan kembali selamat.
“Hal ini menunjukkan bahawa syariat Islam sangat mengambil kira aspek keselamatan dan kesejahteraan manusia,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, akhbar ini melaporkan, kerajaan telah bersiap sedia dengan pelan untuk mengeluarkan lebih 31,000 rakyat Malaysia yang tinggal di negara-negara yang terletak berhampiran Iran.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan dilaporkan berkata, pelan evakuasi itu telah mendapat kelulusan secara dasar daripada Kabinet dan akan dilaksanakan jika perang di Asia Barat bertambah buruk.
Mengulas lanjut, Mohd. Sukki berkata, menangguhkan umrah bukan satu kerugian kerana ibadah tersebut boleh dilaksanakan pada bila-bila masa sepanjang tahun.
Katanya, sebarang keputusan perlu dibuat dengan mengambil kira maklumat keselamatan semasa serta nasihat daripada pihak berkuasa.
“Berbeza dengan ibadah haji yang terikat dengan musim tertentu, umrah mempunyai ruang masa yang lebih luas untuk ditunaikan.
“Oleh itu, menunggu sehingga keadaan benar-benar stabil adalah satu pilihan yang bijaksana agar ibadah dapat dilaksanakan dengan lebih tenang dan selamat.
“Namun, perjalanan ibadah boleh diteruskan seperti biasa sekiranya keadaan keselamatan masih terkawal dan pihak berkuasa mengesahkan laluan perjalanan ke Arab Saudi berada dalam keadaan selamat,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata, perancangan perjalanan ke kawasan berpotensi konflik juga perlu mengambil kira tanggungjawab sosial serta implikasi kepada kerajaan sekiranya berlaku situasi kecemasan.
Katanya, dalam keadaan konflik serantau, kerajaan lazimnya perlu menyediakan pelan kecemasan bagi melindungi rakyat yang berada di kawasan berisiko. – UTUSAN










