PORT DICKSON: Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun menempelak pihak yang terus menuduhnya sekadar menjadi ‘boneka’ DAP sepanjang mentadbir kerajaan Negeri Sembilan.
Katanya, dakwaan pembangunan dan usaha memperkukuh syiar Islam dipinggirkan kerana DAP mendominasi kerajaan negeri juga adalah tidak berasas.
“Datanglah ke Negeri Sembilan dan tanyalah rakyat negeri ini apa yang telah kami lakukan.
“Kemudahan masjid di sini juga lebih baik berbanding di sesetengah tempat lain. Kerajaan negeri memperuntukkan dana sendiri untuk pembinaan masjid.
“Kami juga membina sekolah agama, mempunyai Kompleks Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) serta sedang menaik taraf beberapa sekolah agama. Itu antara usaha yang telah dilaksanakan.
“Selain itu, pelbagai program keagamaan diadakan bagi mengimarahkan negeri ini. Jadi, tidak timbul isu bahawa agama Islam dipinggirkan. Saya khuatir dakwaan itu hanya dimainkan oleh segelintir pihak luar yang tidak memahami keadaan sebenar di Negeri Sembilan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi itu, tuduhan sedemikian dikhuatiri boleh mencetuskan perpecahan masyarakat.
“Disebabkan DAP mempunyai lebih banyak kerusi, ada yang menganggap saya perlu akur kepada DAP. Hakikatnya, perkara itu tidak berlaku.
“Dalam pentadbiran, setiap keputusan dibincangkan bersama dan akhirnya memberi manfaat kepada masyarakat Islam.
“Tuduhan kami hanya mengikut telunjuk DAP atau saya menjadi boneka tidak tepat. Saya bimbang naratif ini boleh memecah-belahkan masyarakat,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata, beliau menyokong keputusan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) menggantung sementara tauliah mengajar agama membabitkan ahli politik dan calon sepanjang tempoh kempen PRN Negeri Sembilan.
“Ini adalah langkah yang sepatutnya dilaksanakan lebih awal. Kita meminta mereka berehat atau bercuti sementara sepanjang tempoh kempen.
“Kita tidak mahu masjid dan surau dijadikan medan untuk mengajar agama sambil berkempen dalam pilihan raya,” katanya.-UTUSAN










