MPT Bersatu masih sah, penuhi cukup bilang

MPT Bersatu masih sah, penuhi cukup bilang

RADZI JIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu masih boleh diteruskan kerana masih memenuhi syarat cukup bilang meskipun beberapa ahlinya meletakkan jawatan.

Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, berdasarkan Fasal 13.12 Perlembagaan Bersatu, cukup bilang bagi mesyuarat MPT ditetapkan pada satu perdua daripada keseluruhan keanggotaan MPT.

Katanya, jumlah Ahli MPT Bersatu ketika ini ialah seramai 23 orang sekali gus menjadikan jumlah minimum kehadiran untuk memenuhi syarat cukup bilang ialah 12 orang.

“Peletakan jawatan beberapa ahli MPT Bersatu tidak menjejaskan ketetapan cukup bilang mesyuarat MPT Bersatu.

“Justeru, mesyuarat MPT Bersatu serta pengurusan dan pentadbiran parti boleh berjalan seperti biasa mengikut kehendak perlembagaan parti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Naib Presiden Bersatu yang digantung, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee mendakwa MPT Bersatu berkemungkinan besar tidak lagi sah dan berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran.

Dakwaan itu dibuat susulan tindakan beberapa Ahli MPT yang meletakkan jawatan baru-baru ini, sekali gus mencetuskan persoalan besar sama ada badan tertinggi parti berkenaan masih mempunyai korum yang mencukupi untuk berfungsi secara sah mengikut perlembagaan parti.

Ronald yang kini digantung keahlian selama dua penggal sejak Mac lalu menggesa, Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) mengadakan mesyuarat segera bagi menilai kedudukan semasa Bersatu dalam gabungan tersebut.

Beliau dilaporkan berkata, kenyataan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa krisis berkenaan akan diselesaikan secara dalaman, langsung tidak menjawab isu paling asas itu.

“Kegagalan membuktikan syarat korum masih dipenuhi akan menimbulkan persoalan serius terhadap kesahihan setiap keputusan yang dibuat oleh MPT.

“Apabila korum tidak lagi mencukupi, Bersatu berdepan risiko berada dalam keadaan tergantung dari sudut pentadbiran, sekaligus tidak mempunyai keupayaan untuk membuat keputusan yang sah menurut Perlembagaan parti,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN