Melaka negeri pertama perkenal E-mel Rakyat

Melaka negeri pertama perkenal E-mel Rakyat

AB. Rauf Yusoh menyampaikan sijil khas kepada SMK Ghafar Baba sebagai sekolah rintis Inisiatif Kampung Digital selepas melancarkan Inisiatif E-mel Rakyat Negeri Melaka di MITC, Ayer Keroh hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Melaka menjadi negeri pertama di negara ini memperkenalkan E-mel Rakyat sebagai identiti digital rasmi bagi memperkukuh penyampaian maklumat kerajaan secara pantas, selamat dan berintegriti.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf berkata, kaedah itu diwujudkan bagi memastikan setiap rakyat menerima hebahan rasmi kerajaan secara terus tanpa bergantung kepada aplikasi media sosial yang sering menjadi medium penyebaran maklumat tidak sahih dan penipuan dalam talian.

“Kita bukan berdepan masalah kekurangan maklumat, tetapi lambakan maklumat sehingga sukar membezakan mana yang benar dan mana yang palsu.

“Atas sebab itu, kerajaan negeri memperkenalkan E-mel Rakyat melalui domain rasmi @melaka.my sebagai saluran komunikasi yang lebih tersusun, selamat dan dipercayai,” katanya ketika merasmikan Inisiatif E-mel Rakyat Negeri Melaka di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.

Mengulas lanjut Ab. Rauf berkata, inisiatif menggunakan domain rasmi @melaka.my itu sebagai satu lagi lembaran baharu dalam agenda pendigitalan negeri, sekali gus meletakkan Melaka di hadapan dalam transformasi perkhidmatan digital kepada rakyat.

Menurutnya, sehingga 22 Julai lalu, sebanyak lebih 203,000 akaun E-mel Rakyat berjaya didaftarkan dengan lebih 193,000 pengguna terdiri daripada murid, guru serta ibu bapa dan penjaga.

Katanya, kerajaan negeri kini menyasarkan 85,000 ketua isi rumah di 618 kampung tradisional di seluruh Melaka mengaktifkan akaun masing-masing bagi merealisasikan aspirasi ‘1 Rumah, 1 E-mel Rakyat.’

Beliau berkata, penggunaan platform itu membolehkan pelbagai maklumat berkaitan bantuan kerajaan, pendidikan, peluang pekerjaan dan kebajikan disampaikan terus kepada kumpulan sasar tanpa risiko dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Mungkin ada yang bertanya, mengapa masih perlukan emel sedangkan kita ada WhatsApp dan Telegram.

“Jawapannya, emel ini menjadi saluran rasmi kerajaan. Ia memastikan maklumat sampai terus kepada rakyat dan mengelakkan mereka menjadi mangsa penipuan melalui pautan palsu yang menyamar sebagai bantuan kerajaan,” katanya.

Beliau berkata, penggunaan E-mel Rakyat telah dimulakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Masjid Tanah yang dipilih sebagai sekolah rintis Inisiatif Kampung Digital.

Menurut beliau, sekolah berkenaan berjaya mencapai 100 peratus pendaftaran dalam kalangan guru dan murid selain membangunkan Hab Digital Pembelajaran Interaktif pertama di Melaka yang menggunakan E-mel Rakyat sebagai pintu masuk rasmi.

Beliau berkata, inisiatif tersebut merupakan kesinambungan kepada agenda Kampung Digital yang telah berjaya melengkapkan proses pendigitalan alamat di kesemua 618 kampung di negeri ini, manakala penyerahan alamat baharu kepada penduduk dijangka selesai menjelang September depan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN