MBKT mula bersih sampah Pulau Redang

Majlis Bandaraya Kuala Terengganu mula bersih sampah Pulau Redang

Kakitangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu melakukan kerja-kerja pembersihan sampah di Kampung Baru Pulau Redang, Terengganu semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sisa sampah di Kampung Baru Pulau Redang, Terengganu yang menjadi antara punca pencemaran marin di pulau peranginan itu mula di­bersihkan sejak semalam dan dijangka selesai selewat-lewatnya pagi ini.

Tindakan pembersihan itu dibuat Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) menggunakan dua buah bot yang mampu mengangkat kira-kira 12 tan metrik muatan setiap satu.

Ini susulan laporan Mingguan Malaysia bertajuk ‘Neraka’ sampah di pulau peranginan yang mendedahkan situasi di Kampung Baru Pulau Redang menjadi lubuk pelbagai sampah termasuk dari negara luar di dasar dan pesisir laut.

Datuk Bandar MBKT, Lizan Che Mat berkata, kerajaan nege­ri juga akan membina rumah sampah tertutup di kawasan itu sebagaimana yang ada di Jeti Laguna, Long Beach sebagai langkah memastikan kebersihan kawasan pelancongan itu.

Beliau berkata, rumah sam­pah tertutup itu dijangka siap sebelum hujung tahun ini.

“Sebelum ini ia tidak dapat dibina kerana terdapat isu tanah milikan perseorangan, sekarang kita sudah dapat kebenaran. Kita akan siapkan segera, kita sasarkan siap sebelum hujung tahun ini.

“Kebiasaannya, sampah ha­nya akan bertambah pada Khamis sehingga Ahad. Sebelum ini juga, tiada aduan tentang pencemaran ini dibuat secara rasmi,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Tinjauan wartawan Mingguan Malaysia di pulau peranginan itu mendedahkan ancaman pencemaran serius akibat timbunan sampah di daratan dan dasar laut.

Tinjauan juga membongkarkan pengurusan sisa yang tidak teratur, pembuangan air kumbahan terus ke laut dan sampah plastik yang terperangkap da­lam ekosistem marin.

Dalam sebuah program pembersihan dasar laut dan persisir pantai yang turut disertai wartawan pada 27 hingga 29 Jun lalu, sebanyak 456.18 kilogram (kg) sisa marin berjaya dikumpulkan.

Pulau Redang kini berdepan ancaman pencemaran mikroplastik apabila kajian mendapati hampir dua pertiga terumbu karang telah tercemar.

Jurnal Kajian Serantau Dalam Sains Marin oleh lima penyelidik Kumpulan Penyelidikan Mikroplastik (MRIG) Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menunjukkan 64 peratus daripada 200 sampel terumbu karang yang dianalisis mengandungi mikroplastik, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kelesta­rian ekosistem marin di pulau peranginan popular itu.

Mengulas mengenai isu kumbahan yang dibuang secara te­rus ke dalam laut, Lizan memaklumkan, MBKT akan membuat siasatan terperinci sebelum tindakan diambil.

“Perlu pasang perangkap minyak dan lemak (grease trap) bagi menghalang minyak, gris dan sisa makanan daripada te­rus masuk ke dalam paip pembetungan.

“Saya akan siasat dan buat perkara yang sebetulnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN