PETALING JAYA: Persatuan majikan bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya dalam sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar) sekiranya kerajaan membenarkan mereka bekerja secara sah.
Presiden Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, pihaknya menyokong usaha kerajaan membenarkan pelarian yang berdaftar dengan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) bekerja secara formal, khususnya dalam sektor yang berdepan kekurangan tenaga kerja.
Menurutnya, langkah itu bukan sahaja dapat mengoptimumkan sumber tenaga kerja sedia ada di dalam negara, malah mengurangkan kebergantungan kepada pengambilan pekerja asing baharu yang melibatkan kos tinggi serta proses yang panjang.
“Pendekatan ini membantu optimumkan sumber tenaga kerja yang sedia ada di dalam negara dan pada masa sama mengurangkan keperluan membawa masuk pekerja asing baharu yang melibatkan kos pengambilan tinggi serta proses yang panjang,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Beliau berkata, Malaysia masih memerlukan tenaga kerja bagi mengisi kekosongan dalam sektor 3D seperti perladangan, pembinaan dan pekerjaan berisiko yang kurang dapat sambutan rakyat tempatan.
“Negara bergantung kepada sektor ini bagi memastikan rantaian perkhidmatan dan pengeluaran produk terus berjalan. Persoalannya, siapakah yang akan mengisi kekosongan tersebut?
“Apabila taraf hidup masyarakat semakin meningkat, rakyat tempatan semakin kurang berminat melakukan kerja-kerja pembersihan dan pekerjaan yang kotor. Sebab itu negara masih memerlukan tenaga kerja asing,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berpandangan pemberian peluang pekerjaan secara sah kepada pelarian akan memudahkan kerajaan mendaftarkan dan memantau golongan tersebut.
“Adalah lebih baik mereka bekerja secara sah berbanding secara haram. Semua undang-undang buruh dan undang-undang negara juga akan terpakai kepada mereka seperti pekerja lain,” katanya.
Sementara itu, pakar ekonomi, Dr. Idham Md. Razak berkata, penawaran peluang pekerjaan kepada pelarian tidak semestinya menguntungkan ekonomi sekiranya pelaksanaannya tidak dikawal dengan baik.
Menurutnya, dasar itu berisiko memberi tekanan terhadap kadar gaji pekerja tempatan dalam segmen tertentu selain melibatkan kos pentadbiran dan pemantauan.
“Tanpa kawalan yang ketat, manfaat ekonomi mungkin tidak melebihi kos sosial dan fiskal yang perlu ditanggung.
“Dalam jangka panjang, terdapat risiko majikan terus bergantung kepada tenaga kerja kos rendah berbanding melabur dalam teknologi dan meningkatkan kemahiran pekerja tempatan, sekali gus melambatkan transformasi ekonomi negara ke arah sektor bernilai tinggi,” katanya. – UTUSAN










