KUALA LUMPUR: Kejayaan sesebuah negara pada masa depan tidak lagi hanya diukur berdasarkan kekuatan ekonomi dan kemajuan teknologi semata-mata.
Sebaliknya, ia bergantung kepada kualiti modal insan yang mampu berfikir secara kritis, berkomunikasi dengan berkesan serta menyesuaikan diri dengan perubahan dunia.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, dalam era yang dipacu perkembangan teknologi pesat dan saling kebergantungan global, sesebuah negara memerlukan individu yang bukan sahaja berilmu, malah mampu bekerjasama merentasi budaya dan sempadan.
Katanya, generasi muda hari ini merupakan aset yang bakal menentukan hala tuju ASEAN dan dunia pada masa hadapan sebagai pemimpin masyarakat, saintis, usahawan, pendidik, profesional serta pembuat dasar.
“Pada masa kini, kita bukan sekadar menghimpunkan pelajar dari pelbagai sekolah dan negara, tetapi sedang menyatukan satu generasi yang akan membentuk masa depan ASEAN dan dunia.
“Atas sebab itu, ruang seperti persidangan ini amat bernilai dalam melahirkan individu yang berfikiran global, namun tetap berpegang kepada nilai serta identiti yang kukuh,” katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Pelajar Antarabangsa ADNI (AISC) 2026, di sini hari ini.
Menurut Fadillah, Kerajaan Madani meletakkan pembangunan modal insan sebagai teras utama kemajuan negara, selaras dengan prinsip yang pernah diperjuangkan Perdana Menteri ketiga, Tun Hussein Onn.
Beliau berkata, Allahyarham yang dikenali sebagai Bapa Perpaduan pernah mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah negara bukan hanya dinilai melalui pencapaian ekonomi, tetapi turut bergantung kepada perpaduan dan sahsiah rakyatnya.
“Teknologi mungkin mampu menghubungkan peranti, namun hanya nilai bersama, rasa hormat dan kepercayaan yang dapat benar-benar menyatukan masyarakat.
“Pembangunan sebenar perlu bersifat menyeluruh meliputi pendidikan, kesejahteraan, etika, kreativiti, kelestarian dan perpaduan sosial,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, nilai ihsan, hormat, kepercayaan, kemampanan dan kemakmuran yang menjadi teras Malaysia Madani perlu diterjemahkan dalam amalan harian generasi muda.
Katanya, kemampuan memahami kepelbagaian pandangan serta bekerjasama dalam dunia digital yang berkembang pantas kini menjadi antara kemahiran paling penting untuk dimiliki.
Beliau turut menegaskan bahawa cabaran masa depan seperti perubahan iklim, kesihatan awam, transformasi digital dan ketidaksamaan sosial tidak mampu ditangani secara bersendirian.
Sebaliknya, katanya, semua pihak termasuk kerajaan, institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil dan golongan belia perlu berganding bahu mencari penyelesaian.
Mengulas perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI), Fadillah mengingatkan bahawa walaupun AI semakin canggih, ia tidak akan mampu menggantikan kebijaksanaan manusia.
“Teknologi mungkin menjadi semakin pantas, tetapi ia tidak dapat menggantikan sifat belas ihsan. Maklumat mungkin tidak terbatas, namun sahsiah kekal menjadi ukuran sebenar kepimpinan.
“Jangan sekali-kali berhenti bertanya, teruskan belajar antara satu sama lain dan jangan hilang nilai yang membentuk jati diri anda.
“Biarlah pendidikan bukan sahaja mempertajamkan minda, malah membentuk hati. Biarlah kejayaan yang dikecapi memberi manfaat bukan hanya kepada diri sendiri, tetapi juga keluarga, masyarakat dan negara,” katanya. – UTUSAN










