KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan sebanyak 1,647 projek perumahan sakit dan terbengkalai dengan nilai pembangunan kasar (GDV) melebihi RM150 bilion.
Menterinya, Nga Kor Ming berkata, kejayaan itu membuktikan komitmen kerajaan dalam membantu rakyat mendapatkan semula kediaman yang sekian lama tertangguh, sekali gus memberi kelegaan kepada hampir 200,000 pembeli rumah yang terjejas.
Katanya, kejayaan berkenaan dicapai hasil usaha Pasukan Petugas Khas KPKT yang menyelaras tindakan pemulihan bersama pemaju, agensi berkaitan serta pihak berkepentingan.
“Pemulihan projek tersebut yang bermula sejak Disember 2022, bukan sekadar menyelamatkan pembangunan, malah mengembalikan harapan ribuan keluarga yang selama ini menanggung beban pinjaman perumahan.
“Setiap projek berjaya dipulihkan memberi manfaat besar kepada pembeli yang sebelum ini terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk menduduki rumah sendiri.
“Pihak kementerian akan terus memperkukuh sistem pemantauan supaya lebih banyak projek bermasalah dapat dikenal pasti dan dipulihkan seawal mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar majlis perasmian Pameran Seni Bina, Reka Bentuk Dalaman dan Bangunan Antarabangsa Ke-25 (Archidex 2026) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini, hari ini.
Kor Ming berkata, reformasi seperti Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS), Perjanjian Jual Beli Elektronik (e-SPA) dan Audited Housing Development Account membantu meningkatkan pemantauan terhadap kemajuan projek perumahan di seluruh negara.
Katanya, kementerian turut mencadangkan pelaksanaan mekanisme ‘Option to Purchase’ bagi mengurangkan risiko pembangunan yang tidak mempunyai permintaan pasaran mencukupi.
“Saya yakin pembaharuan tersebut mampu memperkukuh perlindungan pembeli selain meningkatkan disiplin pemaju dalam merancang dan melaksanakan projek perumahan secara lebih bertanggungjawab.
“Kementerian meletakkan sasaran Malaysia bebas daripada projek perumahan sakit dan terbengkalai menjelang 2030 menerusi reformasi berterusan sektor perumahan.
“Kejayaan memulihkan ribuan projek membuktikan kerjasama kerajaan serta industri mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap pasaran hartanah negara,” katanya. – UTUSAN










