SAYA amat kagum dengan kepekaan yang ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada para penghuni di projek-projek perumahan berskala besar di negara ini.
Memang pada zahirnya difikirkan penghuni-penghuni berkenaan sudah selesa tinggal di rumah dalam sesebuah projek perumahan.
Namun, sebagai insan yang berpandangan jauh dan peka pula kepada rungutan rakyat, Perdana Menteri sedar bahawa kesempurnaan mendapat rumah untuk tinggal sahaja tidak memadai.
Para penghuni yang tinggal di sesuatu kawasan projek perumahan juga memerlukan banyak keperluan asas sampingan lain khususnya dalam aspek pendidikan, kesihatan dan keselamatan.
Memahami hakikat itulah, baru-baru ini Perdana Menteri telah mengeluarkan arahan kepada para pemaju yang membangunkan projek perumahan melebihi 3,500 unit rumah harus mengambil kira keperluan asas tersebut.
Mereka yang tinggal di kawasan projek perumahan sedemikian memerlukan tadika untuk menghantar anak ke kelas prasekolah, dan setelah memasuki usia persekolahan pula, anak-anak mereka perlu dihantar ke sekolah.
Jika sakit, mereka juga memerlukan pusat kesihatan untuk mendapat rawatan terutama bagi kes-kes yang perlu dirawat segera.
Dengan ribuan keluarga yang tinggal di projek-projek perumahan berskala besar sedemikian, pelbagai ragam hidup terpaksa dihadapi oleh para penghuni terbabit khususnya aspek keselamatan.
Ini bermakna, isu keselamatan juga perlu diambil kira agar tidak berlaku kejadian-kejadian yang tidak diingini hingga boleh mengancam nyawa dan keselamatan harta benda.
Menurut Anwar, beliau menyentuh isu itu susulan aduan dan pemerhatian berhubung kesukaran rakyat berpendapatan sederhana, termasuk golongan bergaji RM3,000 ke bawah untuk mendapatkan kemudahan-kemudahan berkenaan.
Katanya, beliau kurang berpuas hati mengenai aspek pendidikan dalam projek-projek perumahan baharu, iaitu projek berskala besar yang harus memenuhi konsep pembangunan Madani.
Anwar berkata, kalau sekolah jauh, tadika tidak ada, bagaimana ibu bapa hendak urus anak-anak. Ini bukan soal kecil. Semua itu perlu diberi perhatian serius.
Justeru, beliau mahu semua projek perumahan besar di bandar mahupun luar bandar perlu mengikut konsep pembangunan menyeluruh yang menitikberatkan keperluan rakyat.
Beliau tidak kisah jika ada yang tidak senang dengan tegurannya itu. Negara ini hanya boleh berubah jika semua pihak ubah sikap dan melaksanakan tanggungjawab.
Katanya, itu projek besar, dan pemaju perlu memberi kerjasama.
Masalah rakyat seperti risiko banjir, akses kepada pendidikan, kesihatan dan keselamatan, tidak boleh dipandang ringan dalam pembangunan kawasan baharu.
“Kalau nak bertanggungjawab, fikirkan mengenai mereka di bawah. Rumah sahaja tidak mencukupi. Semua keperluan asas perlu disediakan, katanya.
Dalam hal inilah, saya sekali lagi mengucapkan setinggi syabas dan tahniah kepada Perdana Menteri atas kepekaannya mengenai isu tersebut. – UTUSAN
RAMLI ISMAIL
Kangar, Perlis










