Kwasa Damansara sasar dihuni 100,000 penduduk dalam lima tahun - Utusan Malaysia

Kwasa Damansara sasar dihuni 100,000 penduduk dalam lima tahun

ADENAN Md Yusof pada sesi taklimat media dan sesi lawatan media ke tapak pembinaan di sekitar Kwasa Damansara, semalam. UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kwasa Land Sdn. Bhd. menyasarkan jumlah penduduk di kawasan pembangunan Kwasa Damansara mencecah kira-kira 100,000 orang dalam tempoh lima tahun akan datang, didorong peningkatan pembangunan kediaman dan kemudahan sokongan di kawasan seluas 912.57 hektar itu.

Pengarah Urusannya, Datuk Adenan Md. Yusof berkata, pertumbuhan berkenaan akan disokong oleh beberapa projek perumahan baharu termasuk hampir 2,000 unit rumah mampu milik yang kini hampir siap serta tambahan kira-kira 4,000 unit yang dirancang dalam fasa seterusnya.

“Kita menjangkakan kira-kira 100,000 penduduk dalam tempoh lima tahun akan datang,” katanya ketika ditemui pada Taklimat Media dan Lawatan Tapak Kwasa Damansara, hari ini.

Menurut beliau, fasa pertama pembangunan rumah mampu milik itu hampir siap dan dijangka diserahkan kepada pembeli menjelang akhir tahun ini.

Katanya, fasa kedua yang membabitkan kira-kira 4,000 unit pula dijangka dimulakan pada penghujung tahun ini.

“Kalau didarabkan dengan tiga orang bagi setiap unit, jumlah penduduk daripada pembangunan ini sahaja sudah mencecah kira-kira 6,000 orang.

“Selain itu, pembangunan Fasa 2 akan bermula tidak lama lagi dan melibatkan tambahan 4,000 unit,” katanya.

Kwasa Damansara yang meliputi sebahagian kawasan Shah Alam dan Petaling Jaya kini menyaksikan pembangunan kejiranan baharu secara berperingkat, termasuk projek yang telah siap, sedang dibina dan bakal dilancarkan.

Adenan berkata, penawaran kediaman di kawasan itu akan merangkumi gabungan rumah bertanah serta pembangunan berketumpatan tinggi bagi memenuhi keperluan pelbagai segmen pasaran.

Beliau berkata, pendekatan itu dapat dilihat menerusi pembangunan ParkCity yang menggabungkan rumah teres, rumah berkembar dan kondominium dalam satu kawasan pembangunan.

“Antara projek kediaman dalam saluran pembangunan Kwasa Damansara ialah Linari yang menawarkan 496 unit dan dijadualkan siap pada 2028, manakala RIA Residensi oleh Sunsuria pula membabitkan 520 unit.

“Waringin, yang merupakan antara tambahan terbaharu dalam sektor kediaman di kawasan itu, menawarkan 820 unit rumah di atas tanah seluas 8.53 hektar dan akan dibangunkan dalam dua fasa,” katanya.

Adenan turut mendedahkan pembangunan akan datang dikenali sebagai Seri Damansara yang membabitkan kira-kira 200 unit kondominium berstatus mewah.

Katanya, unit berkenaan dijangka ditawarkan pada harga antara RM900,000 hingga RM1 juta, dengan pembangunan itu dijangka mula beroperasi menjelang akhir 2027.

Kwasa Damansara dirancang sebagai pembangunan berorientasikan transit (TOD) yang disokong dua stesen MRT iaitu Kwasa Damansara dan Kwasa Sentral.

Dari aspek jaringan jalan raya pula, kawasan pembangunan itu mempunyai hubungan dengan enam rangkaian jalan utama dan lebuh raya termasuk Lebuhraya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH), Lebuhraya Utara-Klang Valley (NKVE) dan Lebuhraya Koridor Guthrie.

Kira-kira 251 ekar atau 11 peratus daripada keseluruhan kawasan pembangunan turut diperuntukkan bagi taman, kawasan berlandskap serta ruang hijau dan terbuka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×