BUKIT MERTAJAM: Keputusan sama ada Malaysia akan kembali menganjurkan sukan permotoran berprestij, Grand Prix Formula Satu (F1) dijangka diketahui esok.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan perkara itu ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin di sini, hari ini.
“F1 itu kita akan umumkan hari Ahad nanti. Okey? Baik,” katanya ringkas.
Harapan menyaksikan deruman enjin F1 kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dilihat semakin cerah apabila kerajaan mengesahkan telah menerima makluman awal berhubung cadangan Malaysia menjadi tuan rumah perlumbaan itu sebagai pengganti Grand Prix (GP) Bahrain.
Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah dimaklumkan mengenai kemungkinan tersebut tetapi segala aspek berkaitan penganjuran masih dalam penelitian.
Menurutnya, KBS juga sedang mengadakan perbincangan secara menyeluruh bagi menilai kesesuaian cadangan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Kali terakhir Malaysia menganjurkan GP F1 ialah pada 1 Oktober 2017 yang menyaksikan pelumba Red Bull, Max Verstappen muncul juara, sebelum perlumbaan itu dihentikan atas faktor komersial dan kos penganjuran yang tinggi. – UTUSAN










