‘Kami hanya mahu bawa pulang jenazah anak’

‘Kami hanya mahu bawa pulang jenazah anak’

ZULFAH Fadliani, ibu kepada Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, rakyat Malaysia yang maut akibat ditikam selepas dipercayai cuba membantu rakannya yang diserang sekumpulan lelaki di Korea Selatan semalam, berharap kerajaan dapat membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah anaknya ke tanah air untuk dikebumikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAWANG: “Kami hanya mahu bawa pulang jenazah anak kami.”

Demikian luahan ibu kepada Allahyarham Ahmad Shah Ahmad Ros, 26, rakyat Malaysia yang maut akibat ditikam selepas dipercayai cuba membantu rakannya yang diserang sekumpulan lelaki di Korea Selatan semalam.

Ibunya, Zulfah Fadliani, 47, berharap kerajaan dapat membantu mempercepatkan proses membawa pulang jenazah anaknya ke tanah air untuk dikebumikan.

Beliau berkata, keluarga berharap pihak berkuasa, khususnya Kedutaan Malaysia di Seoul dan Kementerian Luar terus membantu melengkapkan segala urusan dokumentasi serta proses penghantaran pulang jenazah secepat mungkin.

“Kami berharap kerajaan dapat membantu memudahkan dan  mempercepatkan segala urusan supaya dia dapat kembali ke Malaysia untuk dikebumikan,” katanya ketika ditemui di kediaman keluarga di Bandar Tasik Puteri, di sini, hari ini.

Menurutnya, keluarga pada mulanya bimbang dengan kos membawa pulang jenazah yang dianggarkan mencecah puluhan ribu ringgit.

Bagaimanapun, katanya, isteri Allahyarham, Nurcahaya Ruslan, bertegas mahu suaminya dikebumikan di Malaysia dan menolak cadangan supaya jenazah dikebumikan di negara itu.

“Kami amat berterima kasih kepada seluruh rakyat Malaysia dan rakan-rakan Ahmad Shah yang menghulurkan sumbangan bagi membantu membawa pulang jenazah serta memberikan sokongan kepada keluarga ketika melalui saat sukar ini.

“Kami juga menghargai bantuan Kedutaan Malaysia, Wisma Putra dan Bahagian Konsular yang bertindak pantas membantu urusan laporan bedah siasat, dokumentasi serta prosedur lain,” jelasnya.

Katanya, kali terakhir menghubungi anaknya adalah pada petang sebelum kejadian dan dia berkata, Ahmad Shah yang memaklumkan dirinya berada dalam keadaan baik.

“Dia tidak pernah mahu kami risau. Walaupun berdepan masalah atau mengalami kecederaan, dia tetap akan beritahu semuanya baik-baik sahaja,”jelasnya.

Zulfah berkata, berdasarkan maklumat yang diterima daripada menantunya, Ahmad Shah ditikam ketika cuba mempertahankan seorang rakannya yang dipukul beberapa individu di sebuah kawasan kejiranan yang dihuni pelbagai komuniti Asia.

“Isterinya menyaksikan sendiri kejadian itu. Polis Korea Selatan juga sudah menahan semua suspek termasuk individu yang menikam anak saya,” katanya.

Tambahnya, Ahmad Shah ialah seorang anak yang taat kepada ibu bapa, tidak pernah membantah cakap mereka dan sentiasa sanggup berkorban demi keluarga serta rakan-rakan.

Beliau berkata, Ahmad Shah disenangi ramai sama ada ketika berada di Malaysia mahupun sepanjang menetap di Korea Selatan kerana sikap pemurah, menghormati orang lain serta pegangan agama yang kukuh.

Allahyarham yang bekerja di sebuah kilang di Korea Selatan sejak 2019 dan telah mendirikan rumah tangga pada April lalu dan merancang pulang ke Malaysia pada Disember ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN