Isu pajakan: Pulau Pinang masih menunggu tuntutan rasmi Kedah

Isu pajakan: Pulau Pinang masih menunggu tuntutan rasmi Kedah

CHOW Kon Yeow (kanan) ketika sidang akhbar di pejabatnya di George Town, Pulau Pinang hari ini.-UTUSAN/DANIAL SAAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN : Pulau Pinang masih menunggu tuntutan rasmi daripada Kedah berhubung cadangan semakan kadar bayaran pajakan negeri itu sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, dalam hal ini, beliau enggan mengulas lanjut kerana sehingga kini, kerajaan negeri masih belum menerima butiran lengkap mengenai tuntutan yang dimaksudkan itu.

“Saya rasa ini bukan kali pertama kita perlu jawab (mengenai isu pajakan atau tuntutan Kedah). Jadi, jawapan saya adalah sama, kita menunggu. Itu sahaja,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Ketua Menteri di sini, hari ini.

Kerajaan Negeri Kedah sebelum ini memaklumkan bahawa mereka telah melengkapkan semua dokumen sejarah, kajian serta asas perundangan berkaitan tuntutan semakan kadar bayaran pajakan Pulau Pinang dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk bergerak ke fasa seterusnya.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilaporkan berkata, segala persediaan berkaitan tuntutan itu juga telah disempurnakan oleh pasukan penyelidik dan perundangan negeri selepas melalui proses kajian yang menyeluruh.

Terdahulu iaitu pada 5 Julai lalu, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah bertitah supaya kerajaan Persekutuan mengkaji semula kadar bayaran pajakan Pulau Pinang mengikut kadar semasa berdasarkan semangat serta maksud asal perjanjian.

Sementara itu, Kon Yeow berkata, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan bahawa isu tersebut berpotensi menjejaskan hubungan antara kedua-dua negeri memandangkan kandungan tuntutan berkenaan juga masih belum diketahui sepenuhnya.

“Kita pun tidak tahu apa tuntutannya. Jadi, bagi saya, mungkin terlalu awal untuk komen. Oleh itu, kita tunggu dan lihat dahulu apa yang ingin dituntut. Kemudian, kita akan balas (tuntutan) selepas ia dihantar terus ke mahkamah atau dihantar kepada pihak kerajaan negeri,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN