KUALA LUMPUR: Seorang pelakon wanita drama bersiri popular Gerak Khas 2.0 mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berkait tiga jenis dadah, Selasa lalu.
Tertuduh, Tisha Shamsir, 40, atau nama sebenarnya Shanorbiah Shamsir Alam membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni.
Mengikut pertuduhan, berdasarkan ujian air kencing, wanita itu didakwa memberikan kepada diri sendiri dadah jenis methamphetamine, amphetamine dan ketamin.
Ujian tersebut dijalankan di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi pada pukul 7.30 pagi, 7 Julai lalu.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun serta pengawasan antara dua hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ainna Maryam Norazman mencadangkan jaminan sebanyak RM4,000 dengan seorang penjamin warganegara.
Tisha yang diwakili peguam bela, Nik Azhar Nik Adib memohon jumlah jaminan rendah atas alasan anak guamnya bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu selain mempunyai tanggungan ibu dan bapa.
“Tertuduh telah berpisah dengan suami. Di bawah tanggungan tertuduh adalah kedua ibu bapanya berumur 70an dan bekerja sendiri dengan pendapatan tidak menentu.
“Tujuan jaminan adalah bagi memastikan kehadiran. Tertuduh yang sebelum ini diberikan jaminan polis telah hadir sendiri ke mahkamah, ini menunjukkan tertuduh juga tiada risiko melarikan diri,” katanya.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM1,000 dengan seorang penjamin. Kes ditetapkan untuk sebutan semula bagi serahan dokumen pada 8 Oktober ini.
Selasa lalu, media melaporkan, seorang pelakon wanita yang membintangi drama polis terkenal ditahan bersama beberapa individu lain di dalam sebuah bilik VIP dan didapati positif dadah methamphetamine di sebuah pusat hiburan di ibu negara.
Serbuan menerusi Op Noda itu dijalankan oleh Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dengan kerjasama IPD Dang Wangi pada pukul 3.15 pagi. – UTUSAN










