Guru perlu akta perlindungan khusus

Guru perlu akta perlindungan khusus

ASYRAF WAJDI DUSUKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Akta Perlindungan Guru perlu digubal bagi melindungi warga pendidik yang semakin terdedah kepada tindakan undang-undang, ancaman dan tekanan ketika melaksanakan tugas di sekolah.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, akta itu penting bagi melindungi guru yang bertindak secara munasabah serta mengikut prosedur dalam mengawal disiplin dan keselamatan pelajar.

Katanya, perlindungan undang-undang yang sewajarnya membolehkan guru menjalankan amanah tanpa rasa takut dikenakan tindakan hanya kerana melaksanakan tanggungjawab profesional.

“Guru sering perlu membuat keputusan serta-merta bagi mengawal disiplin, menangani isu keselamatan atau situasi kecemasan.

“Jika tindakan dibuat mengikut undang-undang serta garis panduan Kementerian Pendidikan, mereka tidak seharusnya mudah dikenakan tindakan sivil atau jenayah hanya kerana ada pihak yang tidak berpuas hati,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Menurut beliau, antara rasional utama penggubalan akta itu ialah bagi mengurangkan budaya litigasi yang semakin meningkat apabila pertikaian di sekolah terus dibawa ke mahkamah.

“Akta tersebut boleh memperkenalkan mekanisme penyelesaian awal seperti siasatan dalaman atau proses mediasi sebelum sesuatu kes dibawa ke tindakan mahkamah.

“Selain itu, berkenaan juga mampu menyediakan perlindungan undang-undang kepada guru yang berdepan tindakan mahkamah ketika melaksanakan tugas rasmi.

Selain itu, Asyraf Wajdi berkata, ramai guru terpaksa menanggung sendiri kos guaman apabila berdepan tindakan undang-undang.

“Akta itu boleh memperuntukkan bantuan guaman atau indemniti kerajaan kepada guru yang bertindak dalam skop tugas mereka, sekali gus meningkatkan keyakinan menjalankan tanggungjawab tanpa bimbang dikenakan tindakan undang-undang.”

“Jika guru bimbang disaman, mereka akan terlalu berhati-hati dan enggan mengambil tindakan disiplin, sehingga menjejaskan pengurusan sekolah dan pembentukan sahsiah murid,” katanya.

Tambah beliau, akta itu juga mampu meningkatkan imej profesion perguruan selain membantu menarik dan mengekalkan lebih ramai bakat berkualiti dalam bidang pendidikan.

“Profesion guru perlu terus dihormati dan diyakini kerana mereka memainkan peranan penting dalam membentuk generasi masa depan negara,” katanya. – UTUSAN 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN