Gred jawatan tertinggi PDRM perlu dikaji, susun semula - Utusan Malaysia

Gred jawatan tertinggi PDRM perlu dikaji, susun semula

AYOB Khan sewaktu berucap pada Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini. - UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, mencadangkan supaya struktur gred jawatan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM) dikaji dan disusun semula bagi memastikan selaras dengan tanggungjawab serta beban tugas pasukan itu.

Beliau berkata, cadangan itu bukan dibuat kerana bakal bersara, sebaliknya pernah disuarakan secara terbuka kepada Menteri Dalam Negeri kira-kira dua bulan lalu dalam satu majlis Wira Madani di Kuantan.

“Saya kata perlu ada pembetulan balik, disusun balik, ada sedikit kekhilafan ataupun ketidakteraturan struktur PDRM.

“Kalau tengok Ketua Polis Negara  adalah Turus 2, Timbalan Ketua Polis Negara (DIG) Jusa A. Sepatutnya DIG ini Turus 3, Pengarah-Pengarah Jusa A semua, Ketua Polis Jusa B, barulah dia selari,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Negara di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur (Pulapol) hari ini. 

Ayob Khan berkata, struktur PDRM juga tidak wajar dibandingkan dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) kerana kedua-dua organisasi mempunyai fungsi dan keperluan yang berbeza.

“Tentera ada tiga servis. Tidak semestinya tentera dapat tiga JUSA A, kita pun tiga…kita ada 10 jabatan.

“Setiap hari ada pertambahan jumlah penduduk, beban kerja kita banyak dan kita perlukan lebih ramai pegawai penyiasat. Jadi mesti ada perbezaan,” katanya.

Beliau menegaskan cadangan itu bukan untuk kepentingan dirinya yang bakal menamatkan perkhidmatan, sebaliknya demi memastikan kebajikan serta struktur kerjaya pegawai PDRM pada masa hadapan terus diberi perhatian oleh kerajaan.- UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN