SEREMBAN: Kerajaan akan mengambil pendirian lebih tegas dengan menilai semula kewujudan dan peranan pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, negara ini tidak boleh menjadi magnet kepada pelarian dari negara lain sehingga kemasukan mereka tidak boleh dibendung.
“Sudah sampai masanya, kita menimbangkan semula keberadaan UNHCR di dalam negara kita. Itu pandangan saya supaya kita tidak terus terbeban.
“Kehadiran pejabat UNHCR tidak boleh terus menjadi magnet (faktor tarikan) kepada kemasukan pelarian sehingga menambah beban kepada negara.
“Isu pengurusan pelarian, termasuk pengeluaran kad UNHCR, perlu diteliti dan diurus secara lebih berkesan demi menjaga kepentingan serta kedaulatan negara,” katanya selepas meninjau proses pengundian awal di Pangkalan Udara Sendayan di sini hari ini.-UTUSAN










