PETALING JAYA: Enam lelaki terbabit kes penculikan membabitkan wang tebusan RM7 juta pada 17 Julai lalu akan didakwa di mahkamah esok.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar berkata, kertas siasatan dirujuk kepada Jabatan Peguam Negara Jumaat lalu dan menerima arahan pertuduhan.
Menurutnya, enam lelaki akan didakwa mengikut Seksyen 3(1) Akta Penculikan 1961 kerana menculik untuk wang tebusan.
“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dihukum penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan.
“Pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, Selangor pada 9.30 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dua lagi suspek iaitu seorang wanita dan seorang lelaki dibebaskan serta dijadikan saksi pendakwaan dengan mengikat bon mengikut Seksyen 118 Kanun Tatacara Jenayah.
“Polis akan terus mengambil tindakan terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terbabit dalam aktiviti jenayah, khususnya jenayah kekerasan, bagi memastikan keamanan dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara.
“Oang ramai disaran supaya terus bekerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa dalam usaha membanteras kegiatan jenayah,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki yang menjadi mangsa culik berjaya diselamatkan polis dalam tempoh 24 jam selepas dilarikan sekumpulan suspek yang menuntut wang tebusan sebanyak RM7 juta.
Kumar dilaporkan berkata, mangsa diselamatkan menerusi operasi khas di sebuah unit kediaman di kawasan Shah Alam pada pada 1 pagi.- UTUSAN










