KUANTAN: Empat penunggang motosikal Yamaha RXZ maut manakala seorang remaja perempuan cedera dalam kemalangan melibatkan 13 kenderaan di Kilometer 246.4 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) arah Kemaman, dekat sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Ashari Abu Samah berkata, kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu melibatkan sebuah Toyota Vios, empat motosikal Yamaha RXZ yang dikenal pasti serta lapan lagi motosikal yang belum dikenal pasti.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati., kereta Toyota Vios itu sedang bergerak lurus di lorong kanan dari arah Kuantan menghala ke Kemaman sebelum sebuah motosikal dipercayai merempuh bahagian belakang kenderaan tersebut.
“Pelanggaran itu mengakibatkan penunggang motosikal terbabit terjatuh di lorong kanan sebelum tiga lagi motosikal yang datang dari arah sama gagal mengelak lalu melanggar sesama sendiri. Kemalangan itu turut melibatkan beberapa lagi motosikal yang masih dalam proses dikenal pasti,” katanya di sini hari ini.
Menurut Ashari, mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian ialah Che Mohd. Sufian Che Ghani, 40, dari Bachok, Kelantan; Muhammad Hafiz Al Hakim Mazlan, 33, dari Dungun, Terengganu dan Mohd. Aizat Husni, 33 dari Besut, Terengganu.
Beliau berkata, seorang lagi mangsa, Muhammad Safawi Md. Noh, 24, dari Felda Neram, Terengganu, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), di sini.
“Seorang penumpang kereta berusia 13 tahun mengalami kecederaan pada bahagian tengkuk dan sedang menerima rawatan di HTAA manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Menurut beliau, mayat keempat-empat mangsa dihantar ke Unit Forensik HTAA untuk bedah siasat.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Polis sedang mengesan lapan lagi motosikal yang dipercayai terlibat serta saksi-saksi bagi membantu siasatan. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta tampil membantu siasatan ,” katanya. – UTUSAN










