TELUK INTAN: Dua remaja perempuan maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Jalan Padang Tembak, di sini semalam.
Mangsa yang maut ialah penunggang motosikal, Nur Dania Arissa Salim, 17, dan pembonceng, Nur Atikah Abdullah, 16, yang disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Chua Kok Lian berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kemalangan itu daripada Pusat Kawalan Daerah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak pada kira-kira pukul 6.35 petang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berlaku apabila sebuah kereta yang dipandu lelaki tempatan berusia 28 tahun hilang kawalan ketika cuba memotong kenderaan di hadapannya.
“Kereta tersebut kemudian melanggar motosikal dinaiki kedua-dua mangsa, sebuah lagi kereta yang berada di hadapan dan seorang kanak-kanak lelaki yang berada di tepi jalan.
“Akibat kemalangan itu, kedua-dua remaja perempuan yang merupakan penunggang dan pembonceng motosikal disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, pemandu kereta berusia 28 tahun itu bersama seorang kanak-kanak lelaki yang turut terlibat telah dihantar ke Hospital Teluk Intan untuk mendapatkan rawatan.
Katanya, pemandu kereta berusia 28 tahun itu kini ditahan bagi membantu siasatan ekoran hasil saringan awal air kencing yang dijalankan terhadap lelaki berkenaan didapati positif dadah jenis benzodiazepine dan disyaki memandu di bawah pengaruh dadah.
“Siasatan berhubung kemalangan itu dijalankan mengikut Seksyen 44(1)(a) dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Siasatan berkaitan penyalahgunaan dadah pula dijalankan mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd. Amirrudin Shafiei di talian 013-912 6959 atau hadir ke mana-mana balai polis berhampiran. – UTUSAN










