MELAKA: Banjir di Melaka menunjukkan perkembangan positif apabila jumlah mangsa yang ditempatkan di tiga Pusat Pemindahan Sementara (PPS) berkurangan kepada 110 mangsa daripada 31 keluarga, setakat pukul 12 tengah hari tadi.
Jumlah itu menurun berbanding 118 mangsa daripada 35 keluarga yang direkodkan pada sebelah pagi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memaklumkan, tiga PPS masih beroperasi iaitu di Jasin dan Melaka Tengah.
“Di daerah Jasin, dua PPS kekal dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Serkam Darat yang menempatkan 37 mangsa daripada 10 keluarga dan SK Bukit Tembakau menempatkan 26 mangsa daripada lapan keluarga.
“Di daerah Melaka Tengah, satu PPS iaitu di Kompleks Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor masih beroperasi dengan menempatkan 47 mangsa daripada 13 keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, biarpun jumlah mangsa dan keluarga terjejas mencatatkan penurunan, bilangan daerah dan PPS yang dibuka tidak menunjukkan perubahan. – UTUSAN










