PETALING JAYA: Pelarian Rohingya boleh dipertimbangkan untuk bekerja secara sah dengan syarat majikan menyediakan penempatan berpusat bagi memudahkan pemantauan dan mengelakkan penempatan berselerak.
Pensyarah Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia (UPM), PLC. Gs. Ts. Dr. Mohammad Mujaheed Hassan berkata, cadangan itu praktikal tetapi hanya secara bersyarat kerana kerajaan perlu menilai isu berkenaan secara menyeluruh bukan sekadar memenuhi keperluan industri.
Dianggarkan kira-kira 215,600 pelarian dan pencari suaka berdaftar dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini yang majoriti berasal dari Myanmar.
“Angka ini menunjukkan ia bukan bersifat sementara sebaliknya memerlukan penyelesaian dasar sistematik dan mampan.
“Daripada sudut ekonomi, terdapat beberapa sektor khususnya sektor 3D (kotor, berbahaya dan sukar) seperti pembinaan, perladangan, pembuatan, pembersihan dan perkhidmatan sokongan yang sememangnya berdepan kekurangan tenaga kerja.
“Malah Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) turut menyatakan kesediaan majikan mengambil pelarian Rohingya berdaftar bagi mengisi kekosongan itu. Namun, keperluan majikan tidak boleh menjadi satu-satunya asas dalam pembentukan dasar negara.
“Kerajaan perlu ambil kira aspek keselamatan, penerimaan rakyat, implikasi sosial, kos penyampaian perkhidmatan awam serta kesan jangka panjang terhadap dasar imigresen negara,” katanya.
Semalam, akhbar ini melaporkan persatuan majikan bersedia menawarkan peluang pekerjaan kepada pelarian Rohingya dalam sektor 3D sekiranya kerajaan membenarkan mereka bekerja secara sah.
Mohammad Mujaheed berkata, sekiranya kerajaan membenarkan pelarian bekerja secara rasmi, peluang itu perlu dihadkan kepada sektor yang benar-benar mengalami kekurangan pekerja dan tidak bersaing secara langsung dengan peluang pekerjaan rakyat Malaysia. – UTUSAN










