Amaran kepada penjawat awam terlibat politik

Amaran kepada penjawat awam terlibat politik

WAN AHMAD DAHLAN ABDUL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Penjawat awam diberi amaran untuk tidak terbabit dalam sebarang aktiviti politik termasuk memegang sebarang jawatan dalam parti politik, perlu terus mengekalkan kedudukan berkecuali.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, penjawat awam sepatutnya bersifat profesional, adil dan tidak berpihak selaras dengan prinsip berkecuali dan tidak berpihak.

Beliau berkata, ia bagi memastikan keyakinan rakyat terhadap perkhidmatan awam yang menjadi tulang belakang dalam pentadbiran negara.

“Setakat ini kita tidak menerima laporan ada penjawat awam yang terbabit dalam kempen pilihan raya mana-mana parti atau mereka yang ambil cuti untuk menyertai kempen pilihan raya di Negeri Sembilan.

“Nasihat saya kepada penjawat awam ialah bahawa kita perlu sentiasa bersikap berkecuali kerana kita memegang prinsip setia kepada kerajaan yang memerintah. Kita tidak boleh memihak kepada mana-mana (parti politik),” katanya.

Beliau ditemui selepas program Dialog Aspirasi Perkhidmatan Awam MADANI di Wisma Negeri di sini, hari ini yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd Zafir Ibrahim.

Terdahulu, Wan Ahmad Dahlan berkata, kebajikan rakyat dan kedaulatan perkhidmatan awam akan terus kekal menjadi keutamaan tertinggi kerajaan di bawah inisiatif ekonomi MADANI.

Menurutnya, manifestasi keprihatinan itu dibuktikan menerusi komitmen kewangan berskala besar, di mana peruntukan keseluruhan bagi Sumbangan Tunai Rahmah (STR) melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah iaitu RM15 bilion pada tahun ini, membabitkan lebih 9 juta penerima manfaat.

Katanya, melalui program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pula, kerajaan memperuntukkan RM8 bilion bagi membela nasib 8.1 juta penerima menerusi bantuan barangan bulanan dan dana one-off.

“Kerajaan juga tidak lepas tangan untuk mengukuhkan jaringan keselamatan sosial apabila dana RM11.2 bilion disalurkan terus melalui BUDI MADANI untuk memastikan manfaat subsidi dinikmati hampir 14 juta rakyat.

“Pelbagai inisiatif intervensi impak tinggi ini mencerminkan tekad mutlak kerajaan dalam memperkukuh daya tahan ekonomi domestik serta menjamin kesejahteraan holistik setiap lapisan masyarakat,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN