Amanah besarkan adik OKU selepas kehilangan ibu bapa - Utusan Malaysia

Amanah besarkan adik OKU selepas kehilangan ibu bapa

Nur Syafiqah Mohd. Khair (dua dari kanan) bersama adik-beradiknya memikul tanggungjawab menjaga Muhammad Harith Syauqi yang menghidap sindrom Down serta autisme di Felda Lurah Bilut, Bentong, Pahang.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Kehilangan ibu bapa dalam kemalangan jalan raya bukan sahaja meninggalkan duka yang mendalam, malah enam beradik kini memikul amanah besar membesarkan adik bongsu mereka berusia tiga tahun, iaitu seorang kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) sindrom Down serta autistik.

Allahyarham Mohd. Khair Zainudin, 55, dan Norzaili Khalil, 49, maut dalam kemalangan jalan raya di Jalan Lipis-Merapoh berhampiran pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Benta di sini, pada 7 Julai lalu.

Pasangan itu dikurniakan tujuh anak yang mana seorang daripadanya menetap di Selangor manakala lima lagi tinggal di rumah pusaka keluarga di Felda Lurah Bilut.

Anak kedua pasangan itu, Nur Syafiqah, 25, pula tinggal berdekatan kerana sudah berkahwin dan mempunyai tiga anak.

Nur Syafiqah berkata, mereka tidak pernah menganggap adik bongsu, Muhammad Harith Syauqi sebagai beban, sebalik­nya kanak-kanak itu merupakan amanah yang ditinggalkan ibu bapa mereka.

Katanya, arwah ibunya sering berpesan agar mereka tidak sesekali mengabaikan Muhammad Harith Syauqi kerana anak istimewa itu memerlukan perhatian, kasih sayang dan penjagaan berterusan.

“Kalau ibu sudah tiada nanti, tolong jaga adik. Jangan bergaduh sesama sendiri dan jangan abaikan dia,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Nur Syafiqah berkata, tugas menjaga Muhammad Harith Syauqi bukanlah asing bagi mereka adik-beradik kerana sejak dilahirkan, kebanyakan urusan harian kanak-kanak itu dipikul oleh dua adiknya, Siti Qhadijah Husna, 19, dan Nur Syafina Syaqira, 22.

Menurutnya, sebelum keluar menemani bapa mengedar surat khabar atau atas urusan lain, ibu akan menyerahkan Muhammad Harith Syauqi kepada Siti Qhadijah Husna dan Nur Syafina Syaqira yang sudah biasa memandikan, menyuap makan, menemani tidur serta membawanya mendapatkan rawatan.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh me­nyalurkannya ke akaun Bank Islam 06046024084964 atas nama Nur Syafina Syaqira atau menghubungi talian 011-1423 6480. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN