KUALA KRAI: Selepas 19 tahun hidup tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, sepasang suami isteri sebak apabila lapan anak mereka akhirnya mempunyai sijil lahir.
Semua lapan beradik berusia antara enam tahun hingga 19 tahun itu memperoleh dokumen tersebut dari Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR) di Kampung Johal di sini, semalam.
Mereka ialah Muhammad Hamizul Zatpni, 19; Muhammad Hilkairi, 17; Muhammad Hilkar, 16; Siti Nor Rubillah, 14; Siti Nor Rossa, 13; Siti Norria Akila, 11; Muhammad Narwa Ahadi, 8; dan Muhammad Hafitdan, 6.
Berikutan itu, pasangan Zatpni Abd. Wahab, 53, dan Nursyuhada Wahab, 40, kini berazam menghantar enam daripada lapan anak mereka ke sekolah pada tahun hadapan meskipun mereka sudah jauh ketinggalan dalam pelajaran.
Nursyuhada berkata, hasratnya kini adalah memastikan anak-anaknya memperoleh peluang pendidikan seperti kanak-kanak lain selepas urusan mendapatkan sijil kelahiran diselesaikan.
“Saya bersyukur apabila JPN dapat membantu menguruskan semua sijil lahir lapan anak. Tahun depan saya akan menghantar enam daripada ke sekolah untuk belajar, walaupun banyak ketinggalan dalam pelajaran,” katanya semasa menerima dokumen tersebut yang diserahkan oleh Ketua Pengarah JPN, Datuk Badrul Hisham Alias di Kampung Johal.
Nursyuhada berkata, sebelum ini usaha menguruskan sijil kelahiran sangat sukar berikutan jarak pejabat JPN yang jauh selain kekangan pengangkutan.
Katanya, ketiadaan sijil kelahiran turut menyebabkan urusan mendapatkan rawatan di klinik bagi anak-anak mereka berdepan kesukaran walaupun mereka dilahirkan di Hospital Sultan Ismail Petra (HSIP) di sini.
“Saya dan suami berterima kasih kepada pihak JPN dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang banyak membantu sebelum ini,” katanya. – UTUSAN










