KULIM: Cubaan sebahagian daripada 129 pendatang asing tanpa izin (PATI) melarikan diri dan bersembunyi di bahagian atas struktur bangunan yang sedang dibina gagal apabila kesemua mereka diberkas dalam Op Sapu di sini semalam.
JIM Kedah dalam kenyataan berkata, pemeriksaan dijalankan ke atas 159 individu yang terdiri daripada 30 warga tempatan dan 129 warga asing di tapak pembinaan bangunan perniagaan tersebut.
Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kesemua 129 warga asing disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Antara kesalahan dikesan ialah tidak memiliki dokumen perjalanan atau pas yang sah, tinggal lebih masa serta melanggar syarat pas yang dikeluarkan.
“Daripada jumlah tangkapan, 125 orang adalah lelaki dan empat perempuan membabitkan 100 warga Bangladesh, 11 Pakistan, 10 Indonesia dan lapan Myanmar,” katanya hari ini.
Menurut kenyataan itu, semasa operasi dijalankan, sebahagian PATI bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa.
“Mereka cuba bersembunyi di kawasan tapak pembinaan yang berisiko tinggi termasuk di bahagian atas struktur bangunan yang sedang dibina bagi mengelak daripada ditahan.
“Bagaimanapun, tindakan pantas anggota berjaya menahan kesemua individu terbabit dengan mengutamakan aspek keselamatan serta mematuhi prosedur operasi standard (SOP),” ujarnya.
Tambahnya, kesemua PATI yang ditahan berusia antara 21 hingga 62 tahun dihantar ke Depot Imigresen Belantik bagi tujuan dokumentasi, siasatan dan tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang imigresen yang berkuat kuasa. – UTUSAN










