11 individu tidak mengaku jadi ahli ‘Geng Vinod’

11 individu tidak mengaku jadi ahli ‘Geng Vinod’

11 orang suspek tiba di Mahkamah Sesyen Sepang hari ini bagi menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Seramai 11 individu tidak mengaku bersalah atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vinod’ ketika dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Sepang hari ini.

Tetuduh terbabit ialah G.Sanggeethan (31), M.Puvaneswaran (34), A. Lawrence (34), S. Sri Tharan (27), R. Shervinkumar (23), M. Surenthar (27), Muhammad Vinod Saktivel (30), M. Naviedran (29), T. Saarvin (21), N. A. R. Viknesvaran (27) dan J. M. Kishaan (24).

Kesemua tertuduh hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan berasingan di hadapan Hakim Husna Dzulkfliy dalam bahasa Tamil.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes tersebut berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vinod’ di antara April 2024 hingga Jun 2026 di Telok Panglima Garang, Kuala Langat, Selangor.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan (Akta 574) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Mahkamah kemudian menetapkan 14 September ini sebagai tarikh sebutan semula dan kesemua tertuduh dibawa ke Penjara Tapah, Perak hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Chow Siang Kong dan Muhammad Shahrezal Mohd. Shukri.

Manakala tertuduh diwakili oleh peguam T. Mishant dan Shashi Devan.

Terdahulu, seramai 11 ahli ‘Geng Vinod’ dipercayai aktif melakukan pelbagai jenayah kekerasan sekitar Selangor ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Op Rapido pada 23 dan 24 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk M. Kumar berkata, operasi khas yang dijalankan JSJ Bukit Aman dengan kerjasama JSJ Selangor itu turut berjaya menyelesaikan 21 kes jenayah serta melumpuhkan satu sindiket samun berkumpulan bersenjata yang aktif sejak 2023.

Beliau berkata, kumpulan itu dipercayai terbabit dalam pelbagai jenayah kekerasan termasuk rompakan berkumpulan, cubaan bunuh, merusuh dengan senjata, mendatangkan kecederaan menggunakan senjata serta khianat.

“Siasatan mendapati kumpulan berkenaan diketuai seorang lelaki tempatan berusia 30 tahun dengan keanggotaan seramai 17 orang berusia antara 20 hingga 34 tahun yang kebanyakannya merupakan penjenayah berulang.

“Kesemua suspek warga tempatan berusia antara 21 hingga 34 tahun itu kini ditahan mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sehingga 25 Julai ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN