Sultan Nazrin rasmi Pusat Rehabilitasi Perkeso

Sultan Nazrin rasmi Pusat Rehabilitasi Perkeso

SULTAN Nazrin Muizzuddin Shah menyempurnakan majlis perasmian Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah di Bandar Meru Raya di Ipoh, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan menyempurnakan majlis perasmian Pusat Rehabilitasi Neuro-Robotik dan Cybernics Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di Bandar Meru Raya, di sini.

Berinspirasikan seni sulaman warisan Melayu, Tekat Timbul Benang Emas, Sultan Nazrin turut berkenan menamakan pusat rehabilitasi itu sebagai Pusat Rehabilitasi Perkeso Sultan Nazrin Shah.

Keberangkatan baginda ke pusat berkenaan diiringi Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa dan Raja Di Hilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Almarhum Sultan Idris Shah.

Turut hadir, Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R. Ramanan dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Sementara itu, Ramanan dalam sembah ucapannya berkata, pembangunan pusat rehabilitasi itu bermula sejak 2 Mei 2022 membabitkan tanah seluas 15.5 hektar dan siap sepenuhnya dalam tempoh empat tahun.

Katanya, reka bentuk pusat itu menggabungkan keindahan elemen Perak menerusi Tekat Timbul Benang Emas dan seni bina futuristik berteknologi tinggi.

“Daripada aspek pengoperasian, pusat ini merangkumi 13 blok utama termasuk kemudahan penginapan yang menawarkan rawatan komprehensif khususnya teknologi neuro-robotik dan perubatan komplementari.

“Dengan kapasiti rawatan sehingga 700 pesakit pada satu-satu masa, pusat ini mampu memberi manfaat kepada 3,000 pesakit setahun,” katanya.

Menurutnya, sejak pusat rehabilitasi itu mula beroperasi pada Julai 2025, seramai 1,095 pesakit telah menerima rawatan, merangkumi kes-kes utama seperti kemalangan, penyakit khidmat, kecederaan saraf tunjang serta penyakit tidak berjangkit seperti strok.

Katanya, selain menjadi pusat rehabilitasi terbesar di rantau Asia Tenggara, pusat itu juga merupakan fasiliti dengan bilangan unit Cyberdyne Hybrid Assistive Limb terbanyak di dunia.

“Melalui kerjasama strategik antara Perkeso dan Cyberdyne Incorporation, Jepun, sebanyak 65 unit peralatan Cyberdyne meliputi lower limb, single joint, dan lumbar disediakan untuk manfaat pesakit yang menerima rawatan di sini.

“Dengan keupayaan teknologi tersebut, pusat ini bakal menjadi hab rujukan global bagi perkhidmatan neuro-robotik dan Pusat Kecemerlangan Rehabilitasi melalui penawaran 151 perkhidmatan komprehensif termasuk perkhidmatan neuro-robotik, rawatan sibernik, neuromodulasi dan program Advanced Return-To-Work (RTW),” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN