PETALING JAYA: Rakyat dinasihatkan supaya sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa susulan ramalan fenomena El Nino yang dijangka berlaku mula melanda dalam tempoh terdekat ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, berdasarkan kenyataan dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), fenomena El Nino itu berkemungkinan berterusan sehingga awal tahun depan.
Beliau berkata, fenomena itu dijangka menyebabkan cuaca lebih panas dan kering daripada biasa sepanjang Monsun Barat Daya, sekali gus berpotensi mengurangkan jumlah hujan di beberapa kawasan, meningkatkan risiko kekurangan bekalan air, kebakaran hutan dan tanah gambut serta kejadian jerebu.
“Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat, saya ingin menasihatkan seluruh rakyat agar sentiasa bersedia dan peka terhadap perkembangan cuaca semasa.
“Gunakan air secara berhemah, elakkan aktiviti pembakaran terbuka serta utamakan kesihatan diri dan keluarga, khususnya golongan yang lebih terdedah kepada cuaca panas,” katanya dalam satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Beliau juga menasihatkan orang ramai supaya mendapatkan maklumat cuaca terkini melalui aplikasi myCuaca dan saluran rasmi MET Malaysia.
“Persediaan awal dan tindakan yang bertanggungjawab daripada semua pihak amat penting bagi mengurangkan risiko serta memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa terpelihara.
“Insya-Allah, kerajaan akan terus memantau perkembangan semasa dan mengambil langkah yang sewajarnya bagi memastikan keselamatan serta kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya. – UTUSAN










