Semarak jelajah Malaysia melalui KL Hop-On Hop-Off

Semarak jelajah Malaysia melalui KL Hop-On Hop-Off

TIONG King Sing semasa menyempurnakan Majlis Pelancaran Kempen Domestik Tourism Malaysia pada bas KL Hop-On Hop-Off di Kiosk KL Hop-On Hop-Off, Plaza Sungei Wang, baru-baru ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) terus komited membangunkan industri pelancongan domestik negara melalui kerjasama strategik antara sektor awam dan swasta bagi menyokong Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, pelancongan domestik kekal sebagai teras penting industri pelancongan Malaysia yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan, penciptaan peluang pekerjaan serta pembangunan komuniti di seluruh negara.

“Inisiatif seperti kerjasama bersama KL Hop-On Hop-Off ini dapat memperkukuh penyertaan industri dan meningkatkan kualiti produk serta perkhidmatan pelancongan di bawah TMM2026,” katanya.

Beliau menghadiri Majlis Pelancaran Kempen Domestik Tourism Malaysia pada bas KL Hop-On Hop-Off di Kiosk KL Hop-On Hop-Off, Plaza Sungei Wang, di sini hari ini.

Katanya, Kuala Lumpur terus berfungsi sebagai salah satu pintu masuk pelancongan utama Malaysia yang menawarkan gabungan unik warisan, budaya, gastronomi, runcit dan pengalaman bandar kontemporari.

“Kita berhasrat meningkatkan lagi keterlihatan destinasi, menggalakkan penglibatan pengunjung yang lebih meluas dan menyokong kepelbagaian tawaran pelancongan di ibu kota.

“Kempen ini dapat menjangkau seluruh pelosok negara dengan enam bas KL Hop-On Hop-Off dihiasi wrap yang menonjolkan destinasi pelancongan merentasi 15 negeri dan wilayah persekutuan,” katanya

Menurutnya, kempen ini juga dapat mengukuhkan ekosistem pelancongan Malaysia, memupuk inovasi dalam sektor berkenaan serta mewujudkan pengalaman perjalanan yang bermakna untuk manfaat komuniti dan perniagaan tempatan.

“Sektor pelancongan domestik telah mencatatkan lonjakan memberangsangkan sebanyak 21.3 peratus pada 2025 dengan jumlah 290.1 juta pengunjung.

“Perbelanjaan pelancongan keseluruhan pula meningkat 13.3 peratus kepada RM121.0 bilion dan membuktikan keberkesanan dasar dan inisiatif yang dilaksanakan MOTAC selama ini,” katanya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN