PUTRAJAYA: Nombor Pendaftaran Istimewa (NPI) ’V 1 MY’ hingga ’V 9999 MY’ diperkenalkan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (VM 2026).
Menterinya Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac), Datuk Seri Tiong King Sing berkata, siri NPI khas ini berpotensi menarik minat orang ramai yang menghargai nombor bernilai tinggi serta menggalakkan seluruh rakyat Malaysia menyokong industri pelancongan negara melalui pembelian NPI.
“Saya ingin mengambil peluang ini mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) terutamanya Menteri Pengangkutan, Anthony Loke atas sokongan kepada MOTAC dalam menjayakan VM 2026.
“Pada masa sama membantu kita mencari lebih banyak peruntukan untuk promosi VM2026 bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan dan antarabangsa,” katanya.
Teks ucapan King Sing dibacakan Timbalan Menteri, Chiew Choon Man pada Majlis Pelancaran NPI Visit Malaysia 2026 kerjasama antara Motac, Kementerian Pengangkutan melalui JPJ di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Motac dan Tourism Malaysia juga akan terus memperkukuh kerjasama dengan agensi kerajaan negeri, syarikat penerbangan, pengusaha pelancongan, pemain industri hospitaliti, serta usahawan dan komuniti kreatif tempatan untuk memastikan setiap pelawat menerima pengalaman terbaik di Malaysia.
Jelasnya, hasrat utama kerajaan sepanjang tahun 2026 bukan sahaja menyambut 47 juta ketibaan pelawat antarabangsa, tetapi mempromosikan lebih banyak destinasi dan pengalaman agar lebih ramai mengetahui tentang keunikan negara.
“Saya juga ingin mengajak orang awam, badan bukan kerajaan (NGO), pengusaha pelancongan dan para pemain industri untuk bersama-sama memperkukuh promosi dan meningkatkan kesedaran terhadap VM 2026, di samping menjadi media promosi bergerak yang berkesan bagi jenama VM 2026.
“Jika sektor ini berjaya dan kemasukan pelancong meningkat, ia akan memberi impak besar kepada ekonomi negara, terutama kepada para peniaga, pengusaha hotel, penjaja, restoran-restoran, pengangkutan dan semua kedai dan pusat membeli-belah. Semua lapisan rakyat akan merasai manfaatnya,” ujarnya.
Sementara itu, JPJ memaklumkan, tempoh bidaan NPI berkenaan dibuka bermula 13 hingga 17 Jun ini dengan harga bidaan minima RM300 dan maksimum sehingga RM20,000. – UTUSAN










