Pelancongan domestik perlu diperluas ke bandar sekunder - Utusan Malaysia

Pelancongan domestik perlu diperluas ke bandar sekunder

PELANCONGAN domestik semakin meningkat. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan digesa memperkukuh pelancongan domestik dengan mengalihkan tumpuan pelancong ke bandar sekunder, kawasan warisan dan destinasi luar bandar bagi memastikan pertumbuhan sektor itu lebih seimbang serta manfaat ekonomi dapat dinikmati komuniti setempat.

Ketua Dasar Awam Asia Tenggara Airbnb, Shanta Arul berkata, potensi pelancongan domestik amat besar berdasarkan rekod 290.1 juta pengunjung domestik pada 2025, manakala perbelanjaan pelancongan domestik meningkat 13.6 peratus kepada RM121.3 bilion.

Katanya, perkembangan itu membuktikan pelancongan domestik mampu memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi, terutama dengan mengagihkan perbelanjaan pelancong ke destinasi yang kurang dikenali.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Airbnb menggalakkan usaha memperkukuh pelancongan domestik menerusi pemasaran destinasi yang lebih bersasar, peningkatan keterlihatan digital, kesiapsiagaan komuniti pelancongan serta kerjasama awam-swasta.

“Kami akan terus bekerjasama dengan Tourism Malaysia dan pihak berkuasa tempatan untuk mempromosikan destinasi kurang dikenali, penginapan yang dikendalikan komuniti setempat serta pengalaman komuniti yang unik,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Shanta berkata, Airbnb menyambut baik komitmen kerajaan dalam memupuk pertumbuhan ekonomi jangka panjang dan inklusif sebagai asas kepada pembangunan sektor pelancongan yang mampan.

“Pelancaran Tahun Melawat Malaysia 2026 turut mengukuhkan momentum sektor pelancongan dengan menarik lebih ramai pengunjung, selain memastikan manfaat ekonomi dapat disebarkan kepada komuniti di seluruh negara.

“Airbnb berbangga dapat menyokong dan menyumbang kepada ekosistem pelancongan Malaysia,” katanya.

Berdasarkan analisis impak ekonomi IMPLAN, aktiviti berkaitan Airbnb menyumbang kira-kira RM8.3 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia pada 2025.

Pada tahun sama, aktiviti berkaitan Airbnb turut menyokong sekitar 108,300 pekerjaan dan menjana hampir RM3 bilion dalam pendapatan buruh.

Menurut Shanta, sumbangan itu turut membuka ruang kepada perniagaan tempatan untuk berkembang, selain meluaskan manfaat ekonomi pelancongan melangkaui kawasan tumpuan pelancong tradisional.

“Selain memperkukuh pelancongan domestik, Airbnb turut mencadangkan supaya peranan perkongsian kediaman diiktiraf sebagai sebahagian daripada usaha memperkasa komuniti menerusi sektor pelancongan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×