KLANG: Selangor yang menjadi negeri gerbang utama negara menyasarkan kehadiran sembilan juta pelancong pada tahun ini sempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM).
Jumlah itu disasarkan lebih tinggi berbanding kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS) iaitu seramai lapan juta pelancong sepanjang tahun tersebut.
Exco Pelancongan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Ng Suee Lim berkata, sehingga suku ketiga tahun lalu, seramai 6.4 juta pelancong di Selangor direkodkan dan beliau optimis sasaran lapan juta dapat dicatatkan.
Katanya, bagaimanapun secara umum kedatangan pelancong di negeri ini melebihi 30 juta setahun, namun yang memberi manfaat kepada ekonomi negeri seperti menginap di hotel selama satu malam.
“Terdapat dua kategori pelancong iaitu yang hadir dan menginap. Kalau berdasarkan laporan daripada Jabatan Statistik Malaysia (DOSM), kita terima kemasukan pelancong secara harian. Jadi, kita mahu yang menginap minimum satu malam di Selangor.
“Justeri, kita mahu tahun ini sasaran kita sembilan juta. Kita tambah satu juta lagi. Kita mahu semua pemain industri tolong kita (memainkan peranan) menjadikan sektor pelancongan di Selangor dinamik dan menarik,” katanya ketika berucap pada Majlis Fiesta Kampung Baru Selangor 2026, hari ini.
Suee Lim memberitahu, pesta tersebut dianjurkan selama dua hari bermula hari ini melibatkan keseluruhan 77 kampung baru dan bagan di seluruh negeri dengan sasaran kehadiran 40,000 pengunjung.
Jelasnya ketika ditemui, ia merupakan suatu produk pelancongan dan penanda aras baharu bagi kampung baru dan Tourism Selangor untuk mempamerkan kekuatan kepelbagaian kaum di negara ini khususnya Selangor.
“Kepelbagaian kita untuk menarik sokongan khususnya anak muda kepada kampung baru, mereka suka balik ke kampung dan melawat keluarga (selain pelancongan).
”Ia akan melonjakkan ekonomi penduduk setempat kerana terdapat pelbagai elemen-elemen menarik,” ujarnya. – UTUSAN










